AM

PMR 2025: PELBAGAI PROGRAM UNTUK MANFAAT PENDUDUK SABAH

30/04/2025 01:12 PM

KOTA KINABALU, 30 April (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2025 Sabah (PMR) yang dijadualkan pada9 hingga 11 Mei di lokasi pertama di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, akan diisi dengan pelbagai program untuk manfaat penduduk teurtama di kawasan pantai timur Sabah.

Pengarah Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri (PMO) Mohd Zainuddin Mohd Noor berkata Tawau dipilih sebagai program outreach bagi memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan terus kepada masyarakat setempat.

“Kita santuni masyarakat di sana dan juga kongsikan perkhidmatan khususnya dibawa kerajaan.

“Orang ramai dijemput hadir bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan disediakan,” katanya pada sesi temu bual Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Mohd Zainuddin berkata sepanjang penganjuran program itu, pelbagai aktiviti disusun antaranya tujuh bidang utama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta khidmat bantuan guaman.

Beliau berkata sebanyak 600 jawatan kosong akan ditawarkan oleh majikan yang membuat temuduga terbuka, yang menyaksikan 1,500 pencari kerja diberikan surat tawaran kerja selepas sesi temuduga pada PMR 2024 di Likas.

“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut mengadakan perkhidmatan bergerak bagi membolehkan penduduk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan kewarganegaraan yang menjadi isu di Sabah, juga pendaftaran serta penggantian kad pengenalan dan daftar kelahiran,” katanya.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menawarkan pengurangan kadar saman hingga 50 peratus, penggantian topi kaledar sebanyak 5,000 unit serta pelbagai pertandingan seperti pertandingan dron dan karaoke.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri turut menyediakan peluang kepada penduduk setempat untuk menukar naskhah al-Quran yang rosak atau tidak sah kepada naskhah baharu serta pelbagai program Pocket Talk antaranya berkaitan penipuan.

“PMR 2025 Sabah juga mengadakan tujuh program satelit untuk masyarakat setempat antaranya pemasangan lampu solar serta tambah baik gelanggang futsal,” katanya.

PMR 2025 yang bertemakan Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kerajaan Negeri Sabah.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP Zamrud Yahya berkata sebanyak 200 jenis barangan dengan diskaun harga yang menarik turut dijual pada program Jualan MADANI membabitkan 120 usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan sembilan usahawan trak makanan.

Beliau berkata KUSKOP turut mengadakan program padanan perniagaan bagi mengalakkan kerjasama antara usahawan serta membolehkan bakal usahawan mendapatkan maklumat mengenai kemudahan yang disediakan kepada mereka.

“Menerusi pembudayaan keusahawanan, latihan, pemberian dana dan pelbagai aktiviti keusahawanan ini, akan menjana peluang pendapatan, pekerjaan dan mobilisasi kumpulan sasar miskin serta B40 ke tahap lebih baik,” katanya.

Majlis Penutupan PMR 2025 Sabah bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 petang, 11 Mei yang turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan