AM

SWINBURNE SARAWAK LANCAR PELAN INDUK PENYELIDIKAN 2030

28/04/2025 09:55 PM

KUCHING, 28 April (Bernama) -- Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak hari melancarkan Pelan Induk Penyelidikan Swinburne Sarawak 2030, sebuah pelan hala tuju strategik untuk mengemudi keutamaan penyelidikan universiti berkenaan bagi dekad akan datang.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata pelancaran itu menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Swinburne Sarawak ke arah menjadi institusi penyelidikan yang mempunyai kepentingan nasional dan serantau.

"Dokumen yang tepat pada masanya, berani dan strategik. Swinburne Sarawak menonjol sebagai kampus yang bermaklumat pada peringkat global, namun memberi impak tempatan.

"Pelan induk penyelidikan ini mencerminkan integrasi yang lancar dengan ekosistem penyelidikan global Swinburne Melbourne, sambil kekal berpaksikan pada konteks tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Hazland berkata bidang tumpuan pelan induk itu termasuk inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), tenaga hidrogen dan biojisim, kesihatan digital, ekonomi kitaran, dan membina masyarakat inklusif, inovatif yang mampu memberikan impak bermakna kepada komuniti.

"Penyelidikan tidak boleh berkembang secara sendirian. Ia memerlukan kerjasama berterusan. Biarlah pelan induk menjadi bukan sekadar sebuah penerbitan, tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama, membuka ruang dialog dan mencipta penyelesaian bersama," katanya.

Swinburne Sarawak turut mengalu-alukan kerjasama antara sektor untuk mencipta penyelesaian dalam membentuk Sarawak yang lebih berdaya tahan, inklusif dan bersedia untuk masa depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan