AM

PUSAT BELI-BELAH KE-10 SUNWAY MALLS, SUNWAY SQUARE DIBUKA PADA SEPTEMBER

28/04/2025 09:56 PM

PETALING JAYA, 28 April (Bernama) -- Sunway Malls bakal memperluaskan operasi dengan pembukaan pusat beli-belah ke-10, Sunway Square Mall di sini yang dijadualkan pada September tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls HC Chan berkata Sunway Square Mall dirancang sebagai hab gaya hidup dan bukannya pusat beli-belah tradisional, dengan menggabungkan elemen rekreasi, makanan, hiburan dan pendidikan.

“Pusat beli-belah ini akan mempunyai akademi tarian, pawagam, sebuah kedai buku 24 jam yang dipanggil The Library dan tambahan satu juta kaki persegi ruang pejabat untuk memenuhi keperluan kira-kira 60,000 hingga 70,000 pelajar pengajian tinggi dan profesional muda di kawasan itu,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini hari ini.

Chan berkata pusat beli-belah itu menyokong visi yang lebih luas Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah dalam menjadikan Sunway City Kuala Lumpur sebagai ekosistem dinamik dalam kecemerlangan pendidikan, integrasi gaya hidup dan penglibatan komuniti.

Dengan keluasan 300,000 kaki persegi kawasan boleh sewa bersih (NLA) merentasi empat tingkat, Sunway Square Mall akan menekankan rekreasi dan hiburan sebagai tarikan utama. Penyewa utama termasuk Village Grocer, BUMP Bouldering, TGV Cinemas, The Library by BookXcess, COUNT, KKV, Tutu Toe Dance Academy dan GoFit.

Terletak di Sunway City Kuala Lumpur, pusat beli-belah ini menampilkan lebih 150 kedai runcit dan 3,000 ruang parkir yang terintegrasi, bertujuan untuk memenuhi keperluan pekerja pejabat, pelajar dan komuniti perumahan di sekitar kawasan berkenaan.

Selain itu, Sunway Square adalah sebahagian daripada pembangunan bersepadu lebih besar yang menampilkan dua menara komersial, pusat seni persembahan dengan 1,200 tempat duduk, sebuah perpustakaan 24 jam yang menghadap tasik Sunway South Quay dan tambahan satu juta kaki persegi ruang pejabat, yang kesemuanya akan meningkatkan jumlah pengunjung ke Bandar Sunway.

“Setakat ini, 95 peratus Sunway Square Mall telah berjaya disewa, dengan baki lima peratus masih tersedia untuk penyewa yang berpotensi. Ruang ini akan diperuntukkan untuk jenama yang dapat menawarkan pengalaman terbaik dan paling menarik bagi pengguna, meningkatkan pengalaman membeli-belah dan gaya hidup secara keseluruhan di pusat beli-belah itu,” katanya.

Melihat ke hadapan, kumpulan ini merancang untuk membuka dua lagi pusat beli-belah menjelang 2027 - Sunway Pier di Pelabuhan Klang dengan ruang runcit seluas 400,000 kaki persegi dan Sunway Ipoh Mall di Sunway City Ipoh dengan 1.2 juta kaki persegi.

Pembangunan bercampur bernilai RM3 bilion berhampiran stesen RTS Link Bukit Chagar di Johor Bahru, yang menampilkan komponen runcit seluas 400,000 kaki persegi pula dijangka siap menjelang 2028.

Dengan semua projek pembangunan ini, Sunway Malls meramalkan portfolionya akan terdiri daripada 13 pusat beli-belah yang meliputi 8.2 juta kaki persegi NLA, yang akan disokong oleh pemerolehan Sunway REIT pada masa depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan