KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Meta Bright Group Bhd (MBGB) menerusi anak syarikat 70 peratus miliknya, Expogaya Sdn Bhd memperoleh kontrak pembekalan konkrit berjumlah RM30 juta bagi projek Boulevard 360 Bundusan di Penampang, Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MBGB berkata kontrak sebanyak RM30 juta itu merupakan pesanan bekalan awal untuk kemajuan projek sedia ada, dengan potensi bagi pesanan tambahan berdasarkan prestasi Expogaya.
Katanya, kontrak itu dianugerahkan oleh China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh China State Construction Engineering Corporation (CSCEC) di Malaysia.
CSCEC merupakan syarikat Fortune Global 500 dan terkenal sebagai konglomerat pembinaan terbesar di dunia berdasarkan perolehannya.
Sementara itu, projek pembangunan bercampur Boulevard 360 Bundusan merangkumi tiga menara kediaman moden dan ruang komersial seluas 330,000 kaki persegi, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.1 bilion.
Expogaya yang diiktiraf sebagai pembekal konkrit siap campuran terbesar di Sabah, mengendalikan 16 loji pengelompokan di seluruh negeri, dengan kapasiti pengeluaran harian sebanyak 7,200 meter padu.
“Kami menjangkakan pesanan selanjutnya daripada China State Construction Engineering, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan terhadap keupayaan dan prestasi kami,” kata Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik MBGB Derek Phang Kiew Lim.
-- BERNAMA