AM

EMPAT RAKAN GRAB MALAYSIA TERIMA PAKEJ UMRAH BERSAMA KELUARGA

28/04/2025 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Empat individu dalam kalangan rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab Malaysia, telah dipilih sebagai pemenang kempen kedua Umrah Bersama Rakan Grab Malaysia yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan, baru-baru ini.

Grab Malaysia dalam kenyataan memaklumkan setiap pemenang, menerima pakej umrah percuma selama 12 hari 10 malam untuk empat orang yang merangkumi tiket penerbangan, penginapan di Mekah dan Madinah, sajian, pengangkutan dari lapangan terbang, buku panduan, kursus umrah serta khidmat mutawif yang ditugaskan sepanjang perjalanan.

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor berkata kempen berkenaan, merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Ramadan Grab Malaysia Yang Lebih Besar, Kebaikan Dalam Setiap Pesanan Malaysia’, meraikan komuniti yang menjadikan platform ini berkembang maju.

“Rakan-pemandu dan rakan-penghantar kami adalah nadi platform kami dan kami amat berbangga dapat meraikan dedikasi mereka melalui inisiatif seperti Umrah Bersama Rakan Grab.

“Kami memahami kepentingan perjalanan rohani ini dan ia satu penghormatan bagi kami untuk memainkan peranan dalam membantu rakan-rakan kami merealisasikan impian seumur hidup ini,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada pemenang Mohd Khairi Saamri yang merupakan rakan-pemandu Grab sejak 2018, menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana terpilih, memandangkan ia menjadi impiannya dan keluarga, untuk menunaikan umrah bersama-bersama.

“Peluang ini sangat bernilai bukan sahaja dari segi kos, tetapi sebagai satu rahmat sekali seumur hidup bagi keluarga kami untuk menziarahi Mekah dan Madinah. Saya amat berterima kasih kepada Grab kerana menjadikan impian ini kenyataan," katanya.

Beliau turut menganggap Grab sebagai ‘pengubah keadaan’ sebenar, yang telah membolehkan kelima-lima anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Seorang lagi pemenang Muhammad Azwan Abdull Khalib, yang menjadi rakan-penghantar sejak 2021 berkata menunaikan umrah telah menjadi impiannya dan ia lebih bermakna apabila isteri, ibu mertua dan abangnya akan turut serta.

“Ini adalah rahmat sekali seumur hidup yang tidak pernah saya jangkakan dan saya berharap perjalanan ini akan mengukuhkan ikatan kekeluargaan kami dan membawa keberkatan yang tidak terhingga, di dunia dan akhirat, insya-Allah," katanya.

Menurut kenyataan itu sebagai jenama yang berakar umbi di Malaysia, Grab sentiasa menghayati nilai yang dekat di hati rakyat Malaysia dan kekal komited untuk mewujudkan peluang bermakna untuk komunitinya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan