MELAKA, 28 April (Bernama) -- Sebanyak 64 menara telekomunikasi baharu siap dibina dan beroperasi di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) sejak 2020 di Melaka.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata selain itu, sebanyak 1,128 stesen pemancar turut dinaik taraf kepada rangkaian 4G dalam tempoh sama.
“Impak positif daripada pelaksanaan pelan Jendela itu mula dirasai rakyat apabila liputan teknologi 4G mencapai 99.97 peratus di kawasan berpenduduk berbanding 98.82 peratus pada 2020.
“Kadar liputan 5G di kawasan berpenduduk pula 89.7 peratus melibatkan pembangunan 215 struktur 5G yang telah siap dan beroperasi di negeri ini,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) yang mahu tahu apakah terdapat penambahbaikan atau naik taraf rangkaian telekomunikasi di kawasan kurang mendapat liputan dengan pembinaan menara telekomunikasi baharu di DUN Lendu.
Fairul Nizam berkata satu struktur baharu 5G berserta dua struktur komunikasi baharu 4G telah siap beroperasi di DUN Lendu membabitkan Kampung Ayer Limau 2, Kem 966 Depot Pangkalan Peluru (96 DPP) dan Kampung Baru Lendu.
Beliau berkata selain itu, tiga perkongsian struktur bagi liputan 5G turut dilaksanakan di DUN Lendu membabitkan tapak di Masjid Tanah 2, Jalan Lendu dan Jalan Rembia Batu 18.
“25 stesen pemancar dinaik taraf kepada 4G dan 1,650 premis disambung dengan capaian gentian optik berkelajuan tinggi.
“Telekom Malaysia (TM) pula menyediakan lebih 5,000 ‘port’ Unifi di kawasan DUN Lendu di mana peratus penggunaan port telah mencapai 50 peratus,” katanya.
-- BERNAMA