PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merintis projek tenaga boleh diperbaharui melalui Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) di beberapa kemudahan penjagaan kesihatan terpilih di Lembah Klang, menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Penjagaan Kesihatan, Penyelidikan dan Inovasi (BRAIN) dan mempromosikan alternatif terbiodegradasikan untuk menyokong ekonomi sekeliling.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata inisiatif ini bukan tindakan kendiri, sebaliknya pelaburan jangka panjang dalam ketahanan iklim, kecekapan sumber dan operasi penjagaan kesihatan yang mampan.
“Sistem kesihatan yang mampan juga memerlukan inovasi berterusan dan pembiayaan pintar,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Hijau (GHFCON) 2025 bertemakan ‘Daripada Visi kepada Tindakan: Membentuk Masa Depan Persekitaran Hijau dan Sihat’ di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Muhammad Radzi Abu Hassan.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata dalam tempoh 10 tahun akan datang, bidang kesihatan akan menjadi lebih kritikal dan kementerian mesti melampaui pematuhan dan melebihi minimum piawaian ditetapkan.
Beliau berkata kementerian itu perlu memimpin dengan keyakinan, daripada cara mereka bentuk bangunan, mengendalikan sistem kritikal, melatih pasukan teknikal dan melibatkan komuniti dalam kesihatan bumi.
“Bumi yang sihat adalah asas kepada manusia yang sihat. Oleh itu, saya menggesa anda semua untuk mengambil pemilikan terhadap misi ini. Apabila sektor kesihatan bertindak dengan berani, pihak lain akan mengikutinya,” katanya.
Mengimbas perjalanan kementerian di bawah Program Kelestarian (SP) 2015–2025, beliau berkata KKM telah mencapai kemajuan bermakna dalam memajukan kemudahan penjagaan kesihatan hijau sejak sedekad lepas.
Antara pencapaian yang diperoleh termasuk penerapan sistem pengurusan tenaga di hospital di seluruh negara, pensijilan bangunan hijau untuk operasi dan penyelenggaraan, penambahbaikan kualiti udara dalaman, dan melaksanakan amalan pengurusan sisa mampan berdasarkan prinsip pengurangan, guna semula dan kitar semula (3R).
Lukanisman berkata transformasi ini sebahagian besarnya digerakkan secara dalaman oleh warga KKM, jurutera, profesional penjagaan kesihatan dan rakan kongsi syarikat konsesi.
Pada tahun 2023, KKM melancarkan Rangka Tindakan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Neutral Karbon, rangka kerja untuk membimbing kemudahan penjagaan kesihatan ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui, penambahbaikan kecekapan penggunaan air dan pengurusan sisa yang lebih baik sebagai sebahagian daripada usaha penyahkarbonan yang lebih luas.
“Matlamat kami adalah untuk mencapai neutral karbon di seluruh kementerian ini menjelang 2045, meletakkan kami di hadapan dalam sasaran negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Lukanisman berkata krisis iklim pada asasnya adalah krisis kesihatan kerana peningkatan suhu, kejadian cuaca ekstrem, ketidakjaminan bekalan air dan pencemaran udara semakin membebankan sistem penjagaan kesihatan serta memberi kesan kepada komuniti yang terdedah.
“Penjagaan kesihatan itu sendiri menyumbang dengan ketara kepada masalah iklim. Di peringkat global, sektor ini menyumbang hampir lima peratus daripada pelepasan gas rumah hijau.
“Selain merawat pesakit, kami juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi alam sekitar. Ini adalah paradoks yang kami hadapi dan sebab itu persidangan ini sangat penting,” tambahnya.
-- BERNAMA