SUKAN

NADZMAR, SHAHDAN RANGKUL GELARAN HATRIK CABARAN KAYAK PUSINGAN PULAU LABUAN 2025

27/04/2025 07:04 PM

LABUAN, 27 April (Bernama) --Pasangan adik-beradik Nadzmar dan Shahdan Sukarno mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam Cabaran Kayak Pusingan Pulau Labuan, sekali gus membuktikan dominasi mereka sempena Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2025.

Mewakili Persatuan Kanu Labuan, kedua-dua mereka berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 51.2 kilometer itu dengan cemerlang, walaupun hanya menjalani latihan intensif selama tiga bulan sebelum kejohanan.

Cabaran Kayak Pusingan Pulau Labuan, yang terkenal dengan trek mencabar mengelilingi Pulau Labuan, menarik penyertaan seramai 48 peserta dari pelbagai negeri di Malaysia serta Brunei.

Peserta bertarung dengan arus laut yang kuat, cuaca yang tidak menentu, dan keadaan laut terbuka yang benar-benar menguji kekuatan fizikal dan mental mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib memuji pencapaian luar biasa dua beradik itu, sambil menyifatkan kejayaan mereka sebagai bukti keberkesanan program pembangunan atlet di Labuan.

"Keputusan Nadzmar dan Shahdan menjuarai acara ini untuk tahun ketiga berturut-turut menunjukkan disiplin, kemahiran, dan ketekunan mereka. Kemenangan ini amat mengagumkan, lebih-lebih lagi dengan hanya tiga bulan persediaan," katanya kepada Bernama selepas majlis penutupan acara itu hari ini.

Menurut Mohd Sukuran, kejayaan tersebut turut memberi inspirasi kepada atlet muda di Labuan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam sukan laut.

Keberhasilan Nadzmar dan Shahdan sekali lagi mengharumkan nama Labuan, dengan mencipta sejarah sebagai juara bertahan dalam Cabaran Kayak Pusingan Pulau Labuan, katanya.

Menurutnya Cabaran Kayak Pusingan Pulau Labuan merupakan salah satu daripada empat acara utama dalam LISC 2025, selain Cabaran Memancing Laut Dalam Antarabangsa, Perlumbaan Regatta Antarabangsa, dan Cabaran Mini Maraton Kayak Labuan.

LISC 2025 yang bermula Selasa hingga hari ini menyaksikan 12 acara menarik dengan ribuan pengunjung hadir menyaksikan pelbagai aktiviti sukan laut yang mendebarkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan