PETALING JAYA, 27 April (Bernama) -- Industri kreatif Malaysia menerima rangsangan baharu dengan pelancaran Idea Live Arena yang dijangka menjadi pemangkin kepada hiburan serantau, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Azmir Saifuddin berkata venue baharu itu yang terletak di pusat beli-belah 3 Damansara di sini dengan kapasiti 7,000 orang, bukan sahaja meningkatkan keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara berskala besar tetapi juga sejajar dengan aspirasi negara menjadi hab serantau industri hiburan dan kreatif.
"Saya teruja menyaksikan kemunculan tempat moden seperti Idea Live Arena di sini di Petaling Jaya, antara bandar paling kaya budaya di Malaysia.
"Tempat ini dilengkapi sepenuhnya dengan kemudahan terkini dan berpotensi menjadi pentas konsert dan pameran berskala antarabangsa,” katanya semasa berucap merasmikan venue tersebut.
Idea Live Arena dibangunkan oleh Superstar Arena Holdings Sdn Bhd dengan pelaburan RM40 juta yang melibatkan penambahbaikan struktur, pengubahsuaian dan pemasangan sistem audio, pencahayaan dan visual bertaraf dunia.
Beliau berkata pelancaran venue itu bertepatan dengan pelaksanaan Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI) oleh Kementerian Komunikasi yang bertujuan untuk menarik lebih banyak acara antarabangsa ke Malaysia di samping menyokong penganjuran acara tempatan.
"Dengan insentif CEMI, kami berharap lebih banyak penganjur akan membawa konsert antarabangsa dan acara hiburan ke Malaysia sekali gus meningkatkan ekonomi menerusi sektor pelancongan, hospitaliti dan hiburan,” katanya.
Menurut Azmir Saifuddin Idea Live Arena sudah hampir penuh ditempah sehingga akhir tahun ini, mencerminkan permintaan kukuh untuk konsert fizikal dan acara secara langsung.
Tambahnya, perkembangan itu selaras dengan usaha Finas menggalakkan orang ramai kembali ke pawagam dan ruang hiburan secara langsung selepas sekatan berpanjangan akibat pandemik.
-- BERNAMA