TEMERLOH, 27 April (Bernama) -- Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) komited untuk memperkukuh prasarana sokongan kepada komuniti nelayan dan industri perikanan di Pantai Timur menerusi pembinaan projek Stesen Minyak PETRON yang dimiliki persatuan itu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata projek stesen minyak tersebut bukan sahaja memberi kemudahan bekalan bahan api kepada penduduk sekitar, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi luar bandar.
“Projek ini bukan sahaja menyokong kelangsungan sektor perikanan, malah turut memperkukuhkan rantaian bekalan makanan negara dan memberi limpahan manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Stesen Minyak NEKMAT dan Majlis Jamuan Raya NEKMAT 2025 di Mentakab, hari ini.
Pengerusi NEKMAT Abdul Hamid Bahari berkata stesen minyak yang berkeluasan 0.728 hektar itu akan dilengkapi lima pam minyak dan dua unit kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), selain restoran makanan segera dengan kos keseluruhan hampir RM7 juta.
Abdul Hamid berkata antara keunikan stesen minyak tersebut ialah penjualan produk keluaran NEKMAT dan hasil ikan segar, terutamanya daripada nelayan di daerah Mentakab.
“Apa yang sedang kami usahakan hari ini adalah untuk memastikan perniagaan NEKMAT merangkumi pelbagai bidang, supaya kita dapat merangsang ekonomi persatuan kita.
“Sekiranya projek ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah, NEKMAT bercadang untuk melaksanakan projek serupa di seluruh negara,” katanya.
Selain stesen minyak, NEKMAT melalui anak syarikat usahamanya Prosper Sunshine Sdn Bhd, turut membangunkan kawasan perumahan di Lestarry Heights, Mentakab yang mempunyai 432 unit rumah.
Abdul Hamid berkata Lestarry Heights ialah sebuah komuniti kediaman berpagar dan berpengawal dengan meliputi tiga jenis rumah iaitu Garden Homes dua tingkat (139 unit), Rumah Superlink dua tingkat (193 unit) dan Rumah Berkembar dua tingkat (100 unit).
“Projek ini mencerminkan komitmen NEKMAT dalam menyediakan kemudahan perumahan yang lebih baik serta menambah nilai kepada pembangunan sosioekonomi setempat,” katanya.
-- BERNAMA