DUNIA

RESPONS KEMANUSIAAN SEGERA DITERUSKAN DI MYANMAR SELEPAS GEMPA DAHSYAT - IFRC

26/04/2025 07:05 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Beberapa minggu selepas gempa bumi dahsyat melanda Myanmar pada akhir Mac, Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) memberi amaran bahawa keperluan kemanusiaan masih mendesak, khususnya dalam aspek tempat perlindungan, bekalan air bersih, sanitasi dan penjagaan kesihatan.

Risiko penularan penyakit kekal tinggi dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap bahaya yang berpunca daripada tempat perlindungan sesak dan kekurangan sanitasi — amaran yang turut ditekankan IFRC bagi penyediaan air bersih dan kemudahan sanitasi segera di kawasan perlindungan sementara.

Bercakap kepada Bernama menerusi Zoom, Wakil Perancang, Pemantauan, Penilaian dan Pelaporan IFRC Delegasi Negara Myanmar, Farah Atiqah Ag Ismail berkata gempa berukuran 7.7 pada skala Richter itu meninggalkan kesan kemusnahan yang ketara di kawasan bandar dan luar bandar, khususnya di Mandalay dan Sagaing yang berhampiran pusat gempa.

“Walaupun dalam kawasan bandar, kesannya tidak sekata. Ada bangunan masih utuh, tetapi bangunan di sebelahnya pula musnah sepenuhnya,” katanya.

Kerosakan turut dilaporkan sejauh Bago dan Naypyidaw.

“Orang ramai masih berlindung dalam khemah menggunakan kanvas. Air bersih dan kemudahan sanitasi terus menjadi keperluan kritikal,” katanya.

Sebagai respons, Farah berkata IFRC menempatkan klinik kesihatan bergerak dan tiga unit pengagihan air di kawasan Sagaing dan Naypyidaw.

Namun, kekangan dana terus mengehadkan skala bantuan.

“Rayuan kecemasan kami hanya menerima sebahagian kecil daripada jumlah keperluan sebenar. Tetapi masyarakat kebangsaan telah mula menyumbang bantuan seperti kanvas, set dapur dan barang kebersihan,” katanya sambil memaklumkan lebih 4,000 isi rumah telah menerima bantuan asas setakat ini.

Sebanyak enam wilayah iaitu Sagaing, Mandalay, Naypyidaw, Bago, Shan Timur Laut dan Magway diisytiharkan sebagai zon darurat oleh pihak berkuasa Myanmar.

Statistik dari Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) setakat 23 April menunjukkan bencana alam itu meragut 3,800 nyawa, dengan 116 orang masih hilang, 5,100 cedera dan lebih 207,000 hilang tempat tinggal.

Walaupun berdepan lanskap politik rumit, Farah menjelaskan operasi bantuan tidak banyak terjejas kerana status berkecuali dan tidak berpihak Persatuan Palang Merah Myanmar (MRCS).

Beliau berkata IFRC melancarkan rayuan kecemasan berjumlah 100 juta franc Swiss (US$120.77 juta) pada 29 Mac untuk menyokong usaha bantuan, serta menggerakkan sokongan teknikal dari dalam dan luar Myanmar.

Farah turut menjelaskan bahawa rancangan pemulihan jangka panjang sedang dijalankan, dengan penyediaan tempat perlindungan sementara serta pembersihan puing-puing diberi keutamaan untuk membolehkan usaha pembinaan semula.

“Namun trauma akibat gegaran susulan membuatkan ramai mangsa enggan kembali ke rumah mereka walaupun keadaan selamat,” katanya.

IFRC juga akan terus memperkukuh keupayaan MRCS dengan menambah semula stok kecemasan dan mempertingkat pelan kontingensi.

Menurutnya, IFRC berperanan menyediakan sokongan teknikal dan penyelarasan kepada pertubuhan kebangsaan seperti MRCS, yang menjadi peneraju dalam kerja lapangan dan berinteraksi terus dengan komuniti terjejas.

Setakat April 20, bantuan kemanusiaan terus dipertingkat dengan tiga klinik kesihatan bergerak telah memberi rawatan kepada 3,354 orang, manakala lebih 64,000 penduduk menerima akses kepada bekalan air bersih menerusi pengagihan MRCS.

Sokongan sanitasi kecemasan turut diberikan kepada 32 isi rumah di Naypyidaw dengan pemasangan tandas sementara, manakala 114 isi rumah di dua kem pelarian menerima kemudahan basuh tangan bagi menggalakkan kebersihan.

Dari segi tempat tinggal dan keperluan asas, seramai 17,477 orang (3,577 isi rumah) telah menerima barangan bantuan kecemasan dan tambahan 3,385 orang (755 isi rumah) lagi mendapat bantuan tunai dan barang asas menerusi pakej perlindungan kecemasan.

Lebih 250 tan metrik bekalan bantuan dibawa masuk ke Myanmar hasil sumbangan masyarakat antarabangsa dan rakan kemanusiaan global demi menyokong operasi berterusan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan