AM

3,802 BAKAL JEMAAH DARI JOHOR TUNAI HAJI

26/04/2025 12:03 PM

BATU PAHAT, 26 April (Bernama) -- Sebanyak 3,802 bakal jemaah haji dari Johor akan berangkat ke Makkah secara berperingkat bagi menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata penerbangan pertama dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Mei.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata jumlah itu termasuk 500 bakal jemaah  Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) terdiri daripada pesara dan penjawat awam negeri.

“Saya dimaklumkan jumlah keseluruhan tawaran yang dikeluarkan oleh Tabung Haji (TH) adalah sebanyak 5,000 namun hanya 3,802 bakal jemaah menerima (tawaran haji). Bakinya tidak memenuhi kriteria seperti gagal saringan kesihatan dan beberapa sebab lain.

“Sama-samalah kita doakan agar semua yang menunaikan haji tahun ini mendapat haji mabrur. Saya juga ucapkan berbanyak terima kasih kepada TH kerana membantu menguruskan jemaah dari negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Semerah, di sini semalam.

Mohd Fared turut menasihati bakal jemaah supaya dapat mengikut peraturan ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi selain menjaga kesihatan ketika berada di Makkah dan Madinah.

Sementara itu, Mohd Fared memaklumkan bahawa kutipan Zakat Fitrah tahun ini melepasi sasaran ditetapkan dengan jumlah keseluruhan RM29 juta berbanding RM27 juta pada tahun lepas, dan telah diserahkan kepada golongan fakir dan miskin sebelum sambutan Aidilfitri.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan