AM

KOLAM TAKUNGAN PELBAGAI GUNA BANTU TANGANI MASALAH BANJIR - FADILLAH

26/04/2025 10:53 AM

Daripada Salawaty Supardi

LONDON, 26 April (Bernama) -- Kerajaan mengambil pendekatan membina kolam takungan air pelbagai guna sebagai antara usaha mitigasi banjir dalam negara, sekali gus mengurangkan kerugian akibat bencana alam itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata menerusi pembinaan kolam takungan sedemikian, ia bukan sahaja akan menakung jumlah air hujan yang banyak, tetapi digunakan sebagai simpanan apabila musim kemarau.

"Kolam takungan ini akan digunakan sebagai simpanan air apabila berlaku kemarau, memastikan kita mempunyai sumber air. Air ini boleh diproses untuk bekalan pelbagai kegunaan sama ada bagi minuman, pertanian, industri, dan sebagainya. Inilah antara pendekatan yang sedang kita laksanakan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan ramah mesra bersama rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia London, di sini, pada Jumaat.

Seramai 80 orang yang terdiri daripada pelajar serta kakitangan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia London hadir.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar, Ketua Pegawai Tenaga Baharu Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mohd Zarihi Mohd Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad Datuk Sharbini Suhaili dan delegasi dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Timbalan Perdana Menteri yang tiba di sini dari Turkiye pada Rabu untuk lawatan kerja selama tiga hari sebelum itu turut menunaikan solat Jumaat bersama-sama komuniti Islam di Malaysia Hall.

Beliau sebelum itu mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga di Lancaster House di sini yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat.

Menjelas lanjut, Fadillah berkata mitigasi banjir perlu dilaksanakan segera kerana perubahan iklim yang ketara ketika ini memberi kesan kepada cuaca di Malaysia seterusnya mengakibatkan pelbagai bencana alam termasuk banjir yang berpunca daripada hujan lebat.

"Fokus utama kita sekarang ialah mitigasi banjir disebabkan perubahan iklim. Ribut petir, angin kuat, dan sebagainya menyebabkan jumlah air hujan yang turun dalam satu hari boleh menyamai jumlah hujan sebulan. Ada tempat yang tidak pernah banjir kini dilanda banjir.

"Kita perlu memastikan dapat mengurangkan kesan banjir kepada rakyat, kesan kerugian dari segi kewangan bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada negara kerana pernah berlaku banjir besar yang menyebabkan kerugian RM3 bilion termasuk kos pemulihan dan sebagainya," katanya.

Selain itu, Fadillah mengulangi kenyataan bahawa Malaysia komited untuk mencapai kadar 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050, dan kadar semasa adalah 28 peratus.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan