KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara Kenneth Jonassen percaya pendekatan lebih merendah diri dan keyakinan diri yang tinggi penting untuk Malaysia dalam persediaan berdepan Perancis pada perlawanan pembukaan Piala Sudirman 2025 bermula Ahad ini di Xiamen, China.
Bercakap menjelang kejohanan berpasukan campuran dua tahun sekali itu, Jonassen menekankan tentang pentingnya tumpuan dan kekuatan mental terutama dalam cabaran berpasukan kerana apa saja boleh berlaku.
“Setiap kali bermain dalam acara berpasukan, ia adalah tentang sikap rendah diri tanpa mengira apa juga situasinya. Pada masa sama kita perlu mempunyai keyakinan diri yang tinggi,” katanya dalam rakaman audio dikongsi kepada media hari ini.
Dengan beberapa hari lagi sebelum kejohanan bermula, Jonassen berkata jurulatih pasukan kini memberi lebih tumpuan kepada persiapan individu, khususnya bagi pemain utama.
“Kita berada di kedudukan yang baik dan kini kita akan mula mencorakkan latihan dengan terperinci terutama bagi pemain utama supaya mereka lebih bersedia untuk beraksi,” katanya.
Malaysia berharap untuk memulakan kempen Kumpulan C dengan tampil lebih kuat berdepan Perancis dan perlawanan itu dijangka menentukan rentak skuad negara bagi mengharungi cabaran seterusnya dalam kejohanan berprestij tersebut.
Skuad negara akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain senior dan berpengalaman seperti beregu nombor dua dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, juara Kejohanan Badminton Asia 2025, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki); Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) serta Pearly Tan-M.Thinaah (beregu wanita).
Pemain lain yang turut tersenarai Justin Hoh (perseorangan lelaki); K. Letshanaa (perseorangan wanita ); Go Pei Kee-Carmen Ting (beregu wanita ); serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran).
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C, akan memulakan kempen menentang Perancis (28 April) diikuti Australia (29 April) dan pilihan ketiga, Jepun (1 Mei)
Hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan mara ke suku akhir.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Sudirman mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali pada edisi 2009, 2021 dan 2023.
-- BERNAMA