AM

BSMM KENANG LAPAN ANGGOTA PRCS TERKORBAN DI RAFAH

25/04/2025 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) hari ini mengadakan majlis solidariti bagi mengenang lapan anggota Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) yang terkorban ketika menjalankan misi kemanusiaan di Rafah, Gaza pada 23 Mac lepas.

Setiausaha Agung BSMM Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman berkata majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat BSMM itu diketuai Pengerusi Kebangsaan BSMM Tunku Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Katanya kesemua mangsa maut ketika bertugas dalam ambulans yang dilengkapi simbol kemanusiaan yang diiktiraf antarabangsa.

“Simbol itu membawa maksud berkecuali dan dilindungi Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA). Kehilangan ini mengingatkan kita betapa pentingnya undang-undang ini dihormati dalam semua situasi konflik,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya majlis itu turut menjadi peringatan terhadap ancaman yang semakin meruncing yang dihadapi petugas kemanusiaan di seluruh dunia.

Katanya sebanyak 32 petugas Palang Merah dan Bulan Sabit Merah terkorban tahun lalu, termasuk dari Palestin, Sudan, Iran, Algeria, Syria, Ethiopia dan Republik Demokratik Congo.

“Lebih membimbangkan, lebih 350 petugas kemanusiaan terbunuh di seluruh dunia pada 2024, dengan 95 peratus daripadanya petugas tempatan. Ia menjadikan tahun itu paling tragik dalam sejarah kemanusiaan dengan 377 kematian dilaporkan di 20 negara,” katanya.

Beliau berkata konflik yang berlanjutan tahun ini turut meragut nyawa lapan lagi anggota PRCS, selain seorang daripada Bulan Sabit Merah Sudan dan seorang daripada Palang Merah Republik Demokratik Congo.

Sementara itu, Agensi Pertahanan Awam Gaza dalam laporan AFP pada Isnin, menuduh tentera Israel melakukan 'hukuman mati tanpa bicara' terhadap 15 petugas penyelamat bulan lalu, termasuk lapan kakitangan PRCS yang terbunuh ketika memberi maklum balas terhadap panggilan kecemasan di Rafah, di selatan Gaza.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan