AM

NOMBOR PENDAFTARAN A_A KUTIP HASIL BIDAAN LEBIH RM24 JUTA - LOKE

24/04/2025 07:05 PM

PELABUHAN KLANG, 24 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hasil bidaan lebih RM24 juta bagi Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri 'A__A' sempena sambutan ulang tahun JPJ ke-79.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dalam tempoh lima hari bidaan berakhir semalam, A9A mencatat bidaan tertinggi dengan RM902,020, diikuti A11A (RM703,007), A8A (RM700,000), A7A (RM502,000) dan A2A (RM490,888).

"Lima nombor paling banyak dibida ialah A51A dengan 40 pembida, A101A (31), A8118A (29), manakala 1881A serta A19A masing-masing sebanyak 27 pembida," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Latihan Pemandu Lori Pengangkut Kereta untuk Pengendalian Kenderaan Elektrik (EV) di sini hari ini. 

Loke berkata hasil bidaan NPI termasuk siri A__A akan dipulangkan semula kepada rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan seperti program MyLESEN, pertukaran topi keledar dan Program FlySISWA.

Beliau berterima kasih kepada semua yang membida bagi mendapatkan NPI itu sejak bidaan dibuka secara dalam talian melalui Sistem JPJeBid pada 19 April.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan