TAPAH, 23 April (Bernama) -- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) boleh mengemukakan laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya berlaku penyalahgunaan jentera kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sebarang dakwaan melibatkan pelanggaran peraturan pilihan raya perlu dibuat ke saluran yang betul supaya siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh.
“Bersih boleh melapor kepada SPR, biar SPR membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri progam seminar keibubapaan di sini hari ini.
Terdahulu, Bersih dilaporkan mendakwa berlaku pelanggaran prinsip pilihan raya apabila Menteri Besar Perak hadir pada program ‘Town Hall Bersama Anak Muda’ di Kompleks Sukan Tapah baru-baru ini yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir.
Saarani menafikan kehadiran beliau ke program berkenaan bertujuan untuk berkempen sebaliknya atas jemputan rasmi daripada jabatan terlibat.
Selain itu, beliau berkata tindakan calon BN turun padang ke kawasan tumpuan orang ramai merupakan antara pendekatan sah untuk mendekati pengundi.
"Calon pilihan raya, di mana ada manusia berhimpun dia kena pergi sebab dia nak bersalam dengan orang ramai, sebab itu adalah ruang paling mudah untuk dia,” katanya.
Sementara itu, mengulas dakwaan terbaharu Perikatan Nasional (PN) berhubung isu pembuangan sisa babi yang mencemarkan aliran sungai di Kampung Poh di sini, Saarani berkata ia sekadar mencari laba politik.
Beliau berkata keadaan itu mempamerkan PN ketandusan idea selain menggunakan isu demi mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat.
PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
-- BERNAMA