EKONOMI

UGANDA SASAR PELABURAN MALAYSIA DALAM SEKTOR MINYAK, GAS DAN GALIAN

23/04/2025 05:55 PM

Oleh Naveen Prabu Kuppusamy

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Uganda menyasar pelaburan dari Malaysia dalam sektor tenaga dan sumber galian dengan peluang utama dalam penapisan minyak, mineral kritikal dan infrastruktur tenaga bersih, kata Menteri Tenaga dan Pembangunan Mineralnya Ruth Nankabirwa.

Nankabirwa berkata negaranya mempunyai potensi sumber yang besar dan bersedia untuk menyokong pelabur asing melalui rangka kerja undang-undang yang jelas.

"Anda tidak akan dibiarkan berurusan dengan pemilik tanah sendirian - sumber galian milik kerajaan, walaupun tanah itu milik persendirian," katanya pada Forum Perniagaan dan Ekspo Uganda Mutiara Afrika 2025, di sini, hari ini.

Beliau berkata minyak komersial ditemui pada tahun 2006, dan dua kawasan pembangunan sedang rancak dibangunkan.

 "Kawasan pembangunan pertama di Tasik Albert dijangka menjana 40,000 tong minyak mentah setiap hari. Kawasan kedua, Tilenga yang terletak di bahagian utara Uganda dijangka menghasilkan 190,000 tong sehari," katanya.

Beliau juga berkata negara itu memiliki unsur nadir bumi, emas, bijih besi dan rizab tembaga sambil menambah undang-undang Uganda melarang pengeksportan mineral mentah tanpa penambahan nilai tempatan.

"Kami tidak membenarkan galian dieksport tanpa nilai tambah. Kami mahu bangunkan industri di dalam negara. Itulah sebabnya kami mempelawa pelabur yang bersedia untuk memproses dan bekerjasama dengan kami di dalam negara," katanya.

Nankabirwa berkata pengalaman Malaysia dalam membangunkan industri minyak sawit, industri hiliran dan tenaga solar telah meletakkan negara ini sebagai rakan strategik.

"Jika anda berminat dalam pembangunan solar atau bekerjasama dengan pengedar elektrik serantau, kami sedia menerima. Kami mahu bekerjasama dengan anda," katanya.

Menurutnya, bekalan elektrik untuk kegunaan industri adalah stabil dan sebahagian besarnya bersih, dengan lebih 86 peratus daripada campuran tenaga negara diperoleh daripada kuasa hidro.

Sementara itu, Menteri Kewangan Uganda Matia Kasaija memberi jaminan bahawa negaranya kekal aman, selamat dan stabil walaupun negara-negara jirannya berdepan dengan konflik.

“Jika anda memilih untuk melabur di Uganda, undang-undang kami adalah jelas dan melindungi modal anda, jadi anda boleh menjalankan perniagaan dengan yakin dan menguntungkan.

"Sekiranya pada bila-bila masa anda memutuskan untuk menamatkannya, anda boleh melakukannya dengan bebas, termasuk menghantar pulang pelaburan awal anda dan sebarang keuntungan yang diperoleh," katanya.

Menteri Industri Haiwan Uganda Bright Rwamirama dan Menteri Hal Ehwal Luar Negerinya (Kerjasama Serantau) Mulimba John turut menghadiri forum tersebut.

Forum selama dua hari anjuran Suruhanjaya Tinggi Republik Uganda di Malaysia dan World-One Business Federation itu mengketengahkan Uganda sebagai destinasi pelaburan utama dengan mempromosikan kerjasama, perkongsian pengetahuan, rangkaian dan mempamerkan kekayaan sumber negara tersebut.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan