KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kebanyakan negeri hingga 6 petang hari ini.
Menerusi amaran cuaca yang dikeluarkan pada 2.15 petang itu, MetMalaysia memaklumkan negeri terlibat ialah seluruh Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) serta Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan).
Keadaan cuaca sama diramal berlaku di Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim), Selangor (Hulu Selangor dan Gombak) serta Johor (Mersing dan Kota Tinggi).
Turut mengalami cuaca sama seluruh Terengganu dan Pahang serta Kelantan (Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang) diikuti Sarawak membabitkan kawasan Limbang manakala di Sabah melibatkan kawasan pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Tambunan) dan Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud).
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, MetMalaysia memaklumkan pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) akan diadakan esok di Masjid Daerah Timur Laut (Masjid Terapung), Tanjung Bungah, Pulau Pinang bermula 9 pagi hinggga 12 tengah hari bagi Site Acceptance Test (SAT).
“Penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan agar tidak panik dengan bunyi siren tersebut kerana ia merupakan suatu ujian sahaja. MetMalaysia akan memaklumkan jika terdapat sebarang pindaan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA