DUNIA

SINGAPURA PRU2025: PASUKAN PAP DIKETUAI WONG BERENTAP DENGAN SDP DI MARSILING-YEW TEE

23/04/2025 04:27 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 23 April (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan pasukannya akan berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Parti Demokratik Singapura (SDP) di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee yang mempunyai empat kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU2025) pada 3 Mei ini.

Penyandang daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah termasuk Menteri Negara Kanan Pertahanan dan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, Datuk Bandar Daerah Barat Laut Alex Yam, dan Hany Soh.

Sementara itu, pasukan SDP terdiri daripada Setiausaha Penganjur Jufri Salim, pengasas laman berita alternatif "Wake Up Singapore" Ariffin Sha, pengarah teater Alec Tok dan Gigene Wong, bekas calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) dalam GE2020.

GRC Marsiling-Yew Tee telah menjadi kubu kuat PAP sejak ditubuhkan pada 2015. Dalam pilihan raya lepas, pasukan PAP menewaskan barisan calon SDP yang berbeza dengan kemenangan besar.

“Terima kasih atas sokongan anda terhadap saya dan pasukan saya selama ini. Kami telah bersama anda sejak GRC ini dibentuk. Sila undi kami sekali lagi. Kami akan melakukan yang terbaik untuk meningkatkan kualiti hidup anda.

“Pilihan raya ini sangat penting. Undi anda akan menentukan masa depan anda dan masa depan anak-anak anda,” kata Wong semasa berucap kepada para penyokong selepas penamaan calon di Kolej Junior Jurong-Pioneer.

PRU2025, pilihan raya pertama Wong sebagai Perdana Menteri dan ketua PAP, dijangka mendapat perhatian ramai di tengah ketidaktentuan global.

Sementara itu, perubahan saat akhir menyaksikan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng, yang pada asalnya dijadual bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights, mengetuai pasukan PAP di GRC Chua Chu Kang yang mempunyai empat kerusi Parlimen.

Tan menggantikan Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong yang telah menjadi Ahli Parlimen GRC itu sejak 2011.

Pasukan PAP turut disertai penyandang Zhulkarnain Abdul Rahim dan dua muka baharu - bekas penjawat awam Jeffrey Siow dan ahli sains saraf Choo Pei Ling.

PSP pula menampilkan muka baharu - bekas setiausaha agung Persekutuan Pengilangan Singapura Lawrence Pek - serta A’bas Kasmani, Wendy Low, dan S. Nallakaruppan.

Dalam pilihan raya lepas, pasukan PAP pimpinan Gan menang dengan 58.64 peratus undi keseluruhan.

Sebaliknya, Gan kini mengetuai pasukan PAP di GRC baharu Punggol bersama Janil Puthucheary, Sun Xueling dan Yeo Wan Ling, menurut laporan The Straits Times (ST).

Mereka akan menentang muka baharu Parti Pekerja (WP) - Harpreet Singh, Jackson Au, Siti Alia Abdul Rahim Mattar dan Alexis Dang.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam satu hantaran di Facebook berkata beliau tidak akan bertanding dalam GE2025.

“Tahun ini, saya mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang kerana saya percaya inilah masa terbaik untuk memberi laluan kepada pasukan baharu yang berwibawa bagi berkhidmat kepada Singapura,” katanya.

Menteri Kanan Teo Chee Hean juga dilaporkan oleh ST tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan