PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara itu susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac, bersetuju dengan syor KPDN menubuhkan jawatankuasa itu yang berperanan memperkasakan kerjasama rentas kementerian untuk menangani isu berkaitan harga dan bekalan barang.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan akan turut dianggotai wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi dan agensi berkaitan.
“Penubuhan jawatankuasa ini juga bertujuan menambah baik bentuk kerjasama ad hoc kepada gerak kerja yang lebih strategik dan berterusan.
“Alhamdulillah tahun ini kita dapat membendung elemen yang menganggu bekalan barangan dan penstabilan harga, namun Kabinet mahu ia dapat diteruskan dan ditambah baik (menerusi jawatankuasa ini),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KPDN.
Mesyuarat pertama jawatankuasa itu bakal diadakan Mei ini dan akan bersidang setiap dua bulan.
Armizan berkata menerusi jawatankuasa itu, pemantauan akan dilaksanakan terhadap barang keperluan seperti daging, ayam, telur, beras dan minyak masak dengan pelan intervensi kerajaan akan dipertimbangkan sekiranya wujud isu harga dan bekalan di pasaran.
-- BERNAMA