AM

PROJEK PEMBINAAN JALAN DI DALAT LEWAT 70 HARI DARIPADA JADUAL ASAL - UGGAH

23/04/2025 03:34 PM

MUKAH, 23 April (Bernama) -- Pembinaan jalan sepanjang 11.6 kilometer yang menghubungkan Kampung Medong, Lebrasau dan Kampung Klid di Daerah Dalat di sini, bernilai lebih RM74.18 juta mengalami kelewatan melebihi 70 hari daripada jadual asal, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mendengar taklimat projek itu daripada kontraktor, Uggah berkata satu mesyuarat akan diadakan pada 30 April bagi membincangkan kelewatan itu.

Mesyuarat itu akan disertai pihak kontraktor, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, pemegang lesen, perunding dan juruukur bagi mengenal pasti isu-isu yang menghalang kemajuan projek.

“Saya akan mengadakan mesyuarat pada 30 April untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh kontraktor. Projek ini mengalami kelewatan lebih 70 hari daripada jadual asal, satu petanda yang tidak baik,” katanya.

Beliau berkata, pada asalnya projek ini dijadualkan siap pada 19 Julai, namun tarikh sasaran baharu telah disemak semula kepada 27 Jan tahun depan, dan kontraktor memberi jaminan bahawa projek itu boleh disiapkan mengikut tarikh baharu yang diberikan.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan semua projek negeri disiapkan dalam tempoh masa yang diluluskan.

“Inilah sebabnya kami turun padang, mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul untuk mengelakkan kelewatan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib turut hadir semasa lawatan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan