AM

PERJANJIAN PENUBUHAN 'KURSI DERMA KEKAL YANG AMAT BERHORMAT PREMIER SARAWAK' DIMETERAI

23/04/2025 02:25 PM

KUCHING, 23 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak dan Universiti Malaya (UM) hari ini menandatangani satu memorandum perjanjian (MOA) bagi penubuhan ‘Kursi Derma Kekal Yang Amat Berhormat Premier Sarawak’.

Majlis pertukaran dokumen perjanjian itu disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Ekonomi) Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Noor Azuan Abu Osman.

Majlis itu disaksikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis itu, menerusi penubuhan kursi itu kerajaan Sarawak bersetuju menyumbang dana RM5 juta kepada UM untuk menjana pulangan pelaburan bagi memperkasa bidang penyelidikan, penerbitan serta perkhidmatan dalam kerangka ekonomi baharu dan aspek peraturannya.

“Objektif utama penubuhan Kursi Derma Kekal Yang Amat Berhormat Premier Sarawak ini adalah untuk memperkukuh penguasaan ilmu pengetahuan dalam bidang Ekonomi Baharu,” menurut kenyataan itu. 

Kursi itu akan memberi tumpuan kepada aspek ekonomi serta peraturan baharu yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan mempertingkatkan tadbir urus yang lebih progresif.

“Melalui penubuhan Kursi ini juga, Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi melaksanakan Siri Kuliah tahunan yang dinamakan ‘Kuliah Yang Amat Berhormat Premier Sarawak’ di lokasi yang akan ditentukan kemudian,” menurut kenyataan itu.

Penyelidikan yang dijalankan di bawah kursi ini akan diterbitkan dalam jurnal-jurnal antarabangsa yang berprestij dan akan dapat diakses oleh kerajaan Sarawak serta agensi-agensinya, agar ilmu tersebut dapat dimanfaatkan dalam pelaksanaan dasar dan pembangunan strategik negeri. 

Menurut kenyataan itu penubuhan kursi tersebut juga bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri melalui kajian dan pemahaman dasar-dasar ekonomi semasa. 

“Antara bidang tumpuan Kursi ini termasuklah Ekonomi Hijau, Ekonomi Hidrogen, Bioteknologi dalam penjagaan kesihatan, Articial Intelligence, selaras dengan matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals),” menurutnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan