AM

INDUSTRI HALAL ANTARA TUMPUAN PERBINCANGAN BERSAMA PRABOWO - AHMAD ZAHID

22/04/2025 10:28 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 22 April (Bernama) -- Kerjasama dalam industri halal, nelayan, pendidikan tinggi dan isu Gaza, antara perkara dibincangkan dalam kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke atas Presiden Prabowo Subianto di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata kedua-dua negara pada dasarnya mencapai kesepakatan supaya logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus dapat diguna pakai terhadap produk halal yang dieksport ke Indonesia tanpa perlu prosedur operasi standard baharu.

“Malaysia juga akan mengiktiraf sijil halal Indonesia bagi produk yang dieksport ke Malaysia.

“Ini satu pencetus perubahan yang harus kita hargai atas komitmen pemain industri apatah lagi ia mendapat pengendorsan daripada Menteri Agama Indonesia dan apabila saya mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Prabowo selama kira-kira sejam 45 minit di Istana Merdeka, Jakarta Pusat, hari ini.

Ahmad Zahid berkata dalam pertemuan itu, beliau turut mencadangkan agar forum industri halal yang akan dianjurkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia diadakan di peringkat serantau selain hasrat penubuhan Majlis Halal ASEAN disampaikan kepada Sekretariat ASEAN untuk persetujuan negara anggota.

“Majlis Halal ASEAN perlu diwujudkan bagi mengkoordinasikan bukan hanya pengeluaran sijil halal tetapi juga menjadikan ASEAN sebagai pasaran besar untuk produk-produk dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Mengenai isu nelayan di perairan kedua-dua negara, Ahmad Zahid berkata beliau dan Prabowo bersetuju pihak yang melangkaui sempadan negara masing-masing diberi amaran terlebih dahulu berdasarkan memorandum persefahaman yang dimeterai pada 2012.

“Kita minta nelayan dari Malaysia untuk terus menggunakan Sistem Pengenalan Automatik dan tidak dipadamkan semasa berada di Selat Melaka kerana pihak berkuasa kita akan memantau kedudukan atau lokasi mereka,” katanya.

Beliau berkata perkara itu harus diberikan penekanan oleh pihak berkuasa di negara masing-masing agar hubungan baik dapat dikekalkan.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan usaha mempromosikan pendidikan tinggi dalam jurusan teknikal, kejuruteraan dan profesional di Indonesia agar lebih ramai pelajar negara itu melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Ahmad Zahid berkata beliau dan Prabowo memiliki pendirian yang sama terhadap isu serangan Zionis di Gaza iaitu gencatan senjata secara kekal dapat dilaksana manakala kemasukan bantuan kemanusiaan dapat dipermudah.

“Kita akan meminta masyarakat antarabangsa untuk sepakat ke arah usaha tersebut agar pembangunan semula di Gaza dan Palestin dapat dilakukan,” katanya.

Mengulas mengenai lawatannya ke Indonesia, Ahmad Zahid berkata beliau sangat berpuas hati kerana hal ehwal di luar kerangka hubungan dua hala, politik dan geoekonomi serantau malah di peringkat antarabangsa telah dibincangkan.

“Kita mengharapkan agar ada susulan daripada Wisma Putra dan juga Kementerian Luar Indonesia serta jabatan lain yang berkaitan,” katanya.

Ahmad Zahid mengakhiri lawatan rasmi tiga hari beliau ke negara itu hari ini dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada 8.19 malam waktu tempatan (9.19 waktu Malaysia).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan