AM

ZAKAT LEBIH RM1 JUTA SUNTIK HARAPAN PELAJAR B40 UMK

22/04/2025 06:31 PM

BACHOK, 22 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima wang zakat berjumlah lebih RM1 juta daripada rakan strategiknya yang akan dimanfaatkan untuk pelajar golongan B40 serta pembangunan universiti itu sepanjang tahun ini.

Naib Canselor UMK Prof Dr Arham Abdullah berkata kira-kira 70 peratus daripada 14,000 pelajar UMK terdiri daripada golongan B40 yang memerlukan bantuan sewajarnya bagi memastikan kelancaran pengajian masing-masing.

“Sumbangan zakat ini akan disalurkan kepada pelajar dalam pelbagai bentuk bantuan termasuk pengecualian yuran, sewa rumah, bantuan bulanan, komputer riba serta bantuan segera kepada yang benar-benar memerlukan.

“Kita juga menerima sokongan lain dalam bentuk input akademik daripada pemain industri yang membantu menampung keperluan UMK dalam pembangunan projek tertentu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri ‘Beraya Cara Kita Satu Hati Satu Jiwa’ di UMK Kampus Bachok, di sini, hari ini.

Menurutnya lebih 100 rakan strategik telah menjalinkan memorandum persefahaman dengan UMK melibatkan pelbagai pemain industri dan agensi kerajaan.

“UMK turut mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menjadi rakan strategik sama ada melalui fakulti mahupun pihak universiti,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan