SHAH ALAM, 22 April (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata kementeriannya kini dalam proses menggubal akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).
Beliau berkata kertas Kabinet mengenai perkara itu telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan dipersetujui secara prinsip pada 8 Jan.
“Objektif utama penggubalan akta koperasi yang baharu ini adalah untuk memperkasakan gerakan koperasi dengan liberalisasi perundangan dan memperkasakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan kawal selia koperasi.
“Dengan penggubalan akta koperasi yang baharu ini, KUSKOP optimis ia akan mewujudkan koperasi yang responsif dan dinamik, memudahkan perniagaan koperasi serta meningkatkan tatakelola koperasi,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) di sini hari ini.
Mesyuarat itu sebagai sesi libat urus bersama ahli koperasi bagi mendapatkan input dan pandangan untuk penambahbaikan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU).
Ewon berkata keputusan untuk menggubal akta berkenaan dibuat berikutan dapatan kajian ‘Kajian Perundangan Berkaitan dan Kajian Kekangan Koperasi Sebagai Entiti Perniagaan Dalam Konteks Perundangan’ yang dilaksanakan kementerian itu pada 2023.
Hasil kajian juga menunjukkan terdapat perundangan yang mengekang koperasi terlibat dalam perniagaan tertentu, antaranya undang-undang yang memerlukan koperasi untuk menubuhkan anak syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pula hanya membenarkan syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 untuk diberikan lesen menjalankan perniagaan pengendalian pelancongan dan perniagaan agensi pengembaraan.
“Selain itu, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di bawah Kementerian Kesihatan, yang menyenaraikan syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 sahaja yang boleh memohon mengendalikan kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan swasta.
“Oleh itu, bagi koperasi yang ingin menubuhkan pusat hemodialisis perlu menubuhkan subsidiari bagi menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya.
Ewon berkata taklimat bagi membincangkan perkara itu menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian, serta sesi pembentangan kepada Ahli Parlimen telah diadakan, dengan kedua-duanya mendapat maklum balas positif semua pihak terbabit.
Sehingga kini, sebanyak 10 sesi libat urus dengan penyertaan sebanyak 295 koperasi dan 47 agensi kerajaan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berkaitan RUU koperasi yang baharu telah dilaksanakan.
“Selanjutnya, satu sesi libat urus dengan anggota pentadbiran dan kerajaan Sabah akan diadakan pada 2 Mei akan datang,” katanya.
-- BERNAMA