EKONOMI

JUALAN SEKTOR AUTOMOTIF NAIK 12 PERATUS KEPADA 72,704 UNIT PADA MAC 2025 - MAA

22/04/2025 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Jumlah jualan atau keseluruhan industri (TIV) sektor automotif Malaysia meningkat sebanyak 12 peratus bulan ke bulan pada Mac 2025 kepada 72,704 berbanding 65,061 unit pada bulan sebelumnya.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata pertumbuhan TIV itu didorong oleh sambutan Aidilfitri selain pelbagai tawaran menarik daripada syarikat pengeluar automotif.

Dalam kenyataannya hari ini, MAA berkata secara perbandingan, angka TIV itu menokok sebanyak dua peratus berbanding 71,199 unit yang dicatatkan pada Mac 2024.

“Sebanyak 58,063 kenderaan telah dikeluarkan pada Mac 2025 iaitu susut 13 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas,” katanya.

MAA berkata kenderaan penumpang berjumlah 55,301 unit manakala kenderaan komersial sebanyak 2,762 unit.

Mengulas prospek industri itu, MAA menjangkakan TIV bagi April 2025 akan lebih rendah berbanding Mac berikutan tempoh cuti panjang Aidilfitri dalam minggu pertama bulan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan