ALOR SETAR, 22 April (Bernama) -- Seorang guru lelaki yang berkhidmat di sebuah sekolah swasta di sini ditahan polis kerana disyaki melakukan gangguan seksual terhadap beberapa pelajar perempuan di sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad yang mengesahkan perkara berkenaan berkata suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada 4.45 petang, Sabtu lepas.
Beliau berkata polis telah menerima dua laporan berhubungan kejadian gangguan seksual daripada mangsa yang berusia 15 dan 25 tahun di Balai Polis Alor Setar.
"Laporan pertama diterima pada 18 April telah dibuat oleh bekas pelajar kepada guru berkenaan yang mendakwa pernah diganggu secara seksual melalui hantaran pesanan berbaur lucah selain turut diajak melakukan hubungan seks.
”Mangsa membuat laporan polis selepas mengetahui guru itu turut melakukan perbuatan sama terhadap pelajar lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Nor Salawati berkata laporan kedua dibuat pada 19 April oleh seorang lagi mangsa yang mendakwa telah menerima hantaran berbaur lucah daripada guru sama selain turut diminta menghantar gambar bogel dan diajak melakukan hubungan seks.
Beliau berkata suspek ditahan reman selama empat hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(a)/11 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sebelum ini, Bernama melaporkan seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian), dekat sini ditahan polis berikutan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap beberapa pelajar perempuan di sekolah berkenaan.
-- BERNAMA