IPOH, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak komited membolehkan peralihan Bandar Pintar melalui Pembiayaan Pintar, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata kerajaan negeri bersedia menyokong bandar bukan sahaja dalam perancangan, tetapi juga dalam pelaksanaan dan pembiayaan.
Saarani berkata melalui dasar yang lebih jelas dan berkesan, insentif yang disasarkan serta kerjasama merentas sektor, ia memastikan tiada bandar di Perak ketinggalan dalam usaha itu.
"Apabila bandar berkembang, kita juga perlu mengukuhkan keupayaan untuk membiayai dengan bijak. Kaedah pembiayaan tradisional sahaja tidak mencukupi kerana kita mesti menerima instrumen kewangan inovatif, iaitu perkongsian awam-swasta, bon perbandaran, dana iklim hijau dan penyelesaian kewangan yang disesuaikan dengan realiti bandar," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching pada perasmian acara “3rd City Windows Series: Smart Green ASEAN Cities” di sini hari ini.
Tahun ini, Ipoh dipilih sebagai tuan rumah program serantau berkenaan hasil kerjasama Kesatuan Eropah (EU), Dana Pembangunan Modal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCDF) dan inisiatif Smart Green ASEAN Cities (SGAC) yang berlangsung selama tiga hari bermula pada hari ini.
Program itu menghimpunkan wakil-wakil bandar utama dari seluruh ASEAN untuk bertukar-tukar pandangan, strategi dan amalan terbaik dalam membangunkan bandar pintar serta hijau.
Saarani berkata pelan tindakan pembangunan mampan negeri ini, Perak Sejahtera 2030, menggariskan komitmen kerajaan negeri terhadap kemajuan yang mampan, inklusif dan saksama.
"Ia bukan sekadar pelan, tetapi janji. Janji untuk memperkasakan rakyat kita, melindungi alam sekitar kita dan mengangkat bandar kita menjadi enjin inovasi dan pertumbuhan.
"Bandar raya Ipoh memainkan peranan penting dalam transformasi ini. Pernah dikenali kerana warisan bijih timah yang kaya, hari ini Ipoh berubah sebagai model kehidupan bandar yang berdaya tahan, pintar dan hijau," katanya.
-- BERNAMA