IPOH, 21 April (Bernama) -- Beberapa helai pakaian milik penyanyi legenda, Allahyarham Datuk M. Daud Kilau antara lebih 2,000 bahan yang telah dikumpul dan akan menjalani proses pendigitalan menerusi Arkib Muzik Perak, yang diwujudkan oleh People of Remarkable Talent (PORT) sejak 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata usaha itu diharap menjadi sumber rujukan penting kepada masyarakat, khususnya pengkaji budaya dan pelajar seni.
Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan pelancaran laman sesawang arkib berkenaan pada Julai tahun ini.
“Mengenai cadangan pembangunan Pusat Kreatif PORT, kita sedang melalui proses rundingan bersama Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Tanah dan Galian serta beberapa pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Pada 18 Dis 2023, penyanyi yang dikenali sebagai Raja Gelek Malaysia itu meninggal dunia pada usia 83 tahun di Hospital Teluk Intan akibat sakit tua.
Allahyarham terkenal dengan gaya persembahan memukau serta pakaian berlabuci yang dijahit sendiri bagi setiap persembahan.
Sementara itu, Khairudin turut memaklumkan bahawa pengiktirafan Bandaraya Ipoh sebagai Bandar Kreatif UNESCO dalam kategori muzik pada penghujung 2023 adalah berasaskan data, maklumat serta pelbagai program yang dilaksanakan oleh PORT.
“Beberapa peluang telah diambil untuk mempromosikan bakat seni negeri, antaranya penyertaan PORT dalam Ambonia Music Fest di Ambon, Indonesia dan Suphanburi Cultural Festival di Suphanburi, Thailand yang menampilkan pemuzik tradisional Perak,” katanya.
-- BERNAMA