AM

TANGGUH HAJI, UMRAH UNTUK PILIHAN RAYA: JANGAN TERBURU-BURU KELUAR PANDANGAN - MOHD NA'IM

21/04/2025 05:23 PM

TAPAH, 21 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan secara individu tanpa merujuk pihak berkuasa termasuk mufti berkaitan hukum menunaikan ibadah haji semasa musim pilihan raya.

Mohd Na’im berkata hukum agama ialah perkara yang memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh serta disiplin ilmu yang tinggi.

“Amat penting untuk kita menjaga ketertiban masyarakat dan tidak mencetuskan kekeliruan yang boleh mengganggu keharmonian, apatah lagi apabila ia melibatkan ibadah yang merupakan rukun Islam serta proses demokrasi yang penting bagi negara,” katanya dalam hantaran melalui Facebooknya, hari ini.

Mohd Na’im turut menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak mufti serta institusi berwibawa untuk memberikan pandangan dan penjelasan berdasarkan hukum syarak dan konteks semasa.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ceramah mega pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu lepas dilaporkan berkata masyarakat Islam di negara ini perlu mengutamakan kemenangan politik termasuk menangguhkan hasrat menunaikan ibadah umrah dan haji.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi kenyataan pula memaklumkan jabatan itu bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak berautoriti berkaitan sedang dalam tindakan meneliti kenyataan berkenaan.

JAKIM menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Hasan berkata sesiapa yang telah terpilih sebagai Dhuyufurrahman (tetamu Allah), perlu menyambut seruan dan menunaikannya dengan penuh keikhlasan.

Beliau berkata ibadah haji dan umrah merupakan rukun dan ibadah utama dalam Islam dan ia tidak sepatutnya diperkecil atau dibandingkan dengan kepentingan politik kepartian.

“Islam tidak pernah mengajar kita untuk meninggalkan ibadah – demi merebut kemenangan politik. Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, yang sentiasa menyatukan kita atas titik akidah yang menyuburkan kedamaian, persaudaraan dan juga perpaduan,” katanya.

Justeru, Zulkifli berkata kenyataan kemenangan politik sebagai lebih utama daripada menunaikan umrah dan haji memerlukan penelitian lebih mendalam dan dilakukan dengan penuh hati-hati supaya tidak disalah erti, bahkan boleh menatijahkan pemikiran ekstrem, ketaksuban dan kefanatikan.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan berkata Abdul Hadi menggunakan hujah di luar konteks dan menimbulkan kekeliruan.

“Mengatakan bahawa Rasulullah SAW mendahulukan kemenangan politik berbanding melaksanakan umrah/haji ialah dakwaan yang mengelirukan.

“⁠Jelas, jauh sungguh perbezaan perjuangan antara Abdul Hadi dengan Rasulullah, Rasulullah tidak mengizinkan sebarang ruang untuk perjuangan murni Islam difitnah dan diburukkan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr  Mohamed Azam Mohamed Adil berkata kenyataan mana-mana pemimpin politik yang mengutamakan kemenangan politik berbanding ibadah haji dan umrah dipetik dalam konteks yang tidak wajar dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam.

Beliau berkata pemimpin politik sebagai individu yang menjadi teladan dalam masyarakat seharusnya menunjukkan sikap yang seimbang antara tanggungjawab duniawi dengan keutamaan ukhrawi. 

“Mengutamakan kemenangan politik sehingga mengabaikan atau merendahkan nilai ibadah, seperti haji dan umrah boleh mencerminkan kekeliruan dalam memahami peranan agama dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang yang giliran menunggu untuk menunaikan haji mengambil masa begitu panjang.

“Penangguhan untuk menunaikan ibadah haji atas faktor kesihatan dan keselamatan ialah rukhsah yang dibenarkan oleh syarak dan tidak boleh sama sekali disamakan dengan penangguhan hanya kerana perlu mengundi dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azam berkata Islam juga mengajar bahawa kejayaan duniawi tidak boleh mengatasi kewajipan beribadah kepada Allah SWT kerana kehidupan di dunia adalah sementara berbanding kehidupan akhirat yang kekal.

“IKIM menyeru semua pihak terutama pemimpin politik agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutama yang melibatkan perkara di atas. Sebaliknya, pemimpin digalakkan untuk mempromosikan nilai-nilai murni Islam termasuk mengutamakan ibadah dan akhlak mulia serta melaksanakan tanggungjawab politik dengan penuh integriti dan keadilan.

“Kami juga menyeru masyarakat untuk terus mendalami ilmu agama agar dapat membezakan antara tanggungjawab duniawi dengan keutamaan spiritual. IKIM kekal komited untuk memupuk kefahaman Islam yang seimbang dan menyeluruh demi kemaslahatan ummah,” katanya.

 Ahli Dewan Negara Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata kenyataan yang dikeluarkan pemimpin politik itu tidak bersandarkan kepada asas ilmu, sebaliknya hanya "menunggang" isu haji dan umrah supaya orang ramai keluar mengundi pada pilihan raya. 

"Haji ialah rukun Islam yang wajib dilaksanakan dengan kadar kemampuan apabila sampai masanya, maka hendaklah mana-mana yang mampu melakukannya.

“Berbeza dengan politik seperti mengundi … kita tidak tahu bila pilihan raya kecil. Kalau nak buat perbandingan, ini satu perbandingan yang jauh tersasar," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan