KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan respons positif terhadap inisiatif Gerakan Ekoniaga MADANI (Gema) yang diperkenalkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bagi memperkasakan golongan usahawan.
Presiden DPMM Norsyahrin Hamidon berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri yang meluangkan masa hampir sejam pada majlis Gema Aidilfitri 2025 anjuran DPMM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Norsyahrin, Gema berteraskan Ekonomi MADANI dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35).
“Saya juga sempat menyampaikan kepada Perdana Menteri bahawa DPMM akan memainkan peranan terbaik dalam membantu kerajaan mencapai hasrat memperkasakan ekonomi rakyat,” katanya kepada media selepas majlis tersebut.
Norsyahrin berkata menerusi Gema, DPMM akan mengambil langkah turun padang untuk menyantuni golongan usahawan serta mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh mereka.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata DPMM turut mengambil inisiatif untuk membangunkan 20.23 hektar tanah yang telah digazetkan sebagai tanah rizab Melayu di projek Bandar Malaysia, Jalan Sungai Besi, melalui Konsortium Pembinaan Melayu.
Beliau berkata Perdana Menteri turut menegaskan kepada pihaknya agar memastikan kontraktor yang dipilih benar-benar berkelayakan dan bukannya 'broker atas angin' atau 'Ali Baba'.
-- BERNAMA