AM

BILANGAN PENGUSAHA BOT NELAYAN C2 DI KELANTAN MENURUN - LKIM

19/04/2025 07:39 PM

PASIR PUTEH, 19 April (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengesan penurunan ketara dalam bilangan pengusaha bot nelayan laut dalam kelas Zon C2 di negeri ini.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata jumlah pengusaha aktif kini hanya tinggal 70 berbanding 360 orang sebelum ini.

“Kita mendapati pengurangan ini berlaku disebabkan ketiadaan subsidi minyak kepada bot C2 dan kurangnya ekosistem perikanan yang menyeluruh, khususnya di kawasan Tok Bali.

“Mana-mana industri memerlukan sistem ekonomi yang lengkap untuk kekal bertahan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama nelayan Kelantan di Penempatan Semula Nelayan Tok Bali, di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata ketiadaan kilang pemprosesan ikan, produk hiliran perikanan serta kemudahan sokongan seperti bengkel pembaikan kapal atau bot turut menyumbang kepada pengusaha tidak konsisten dalam meneruskan perusahaan mereka.

Beliau berkata LKIM sebelum ini pernah mengadakan pertemuan dengan pelabur untuk membuka kilang di negeri ini, namun usaha berkenaan berdepan kekangan bekalan air.

“Kita berharap isu ini dapat diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri agar ekonomi serta pelaburan dapat ditingkatkan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata walaupun bilangan pengusaha bot C2 semakin berkurangan, bekalan ikan di pasaran masih mencukupi.

“Namun, trend pengurangan ini perlu dipandang serius bagi mengelak kesan terhadap bekalan ikan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Muhammad Faiz turut menyampaikan peralatan penangkapan ikan bernilai RM180,000 kepada 12 nelayan B40.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan