KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Commonwealth of Learning (COL) akan memperkukuh kerjasama strategik sedia ada, terutamanya dalam mempromosikan Pembelajaran untuk Pembangunan Mampan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata komitmen itu dimeterai semasa menerima kunjungan hormat daripada delegasi COL yang diketuai oleh Presidennya, Prof Peter Scott, di ibu negara baru-baru ini.
“Kerjasama ini telah terjalin sejak 2007 dan dalam pertemuan kali ini, kami bersetuju untuk meneruskan serta memperluas program utama yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi, rangkuman sosial dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.
Beliau berkata inisiatif ini akan digerakkan menerusi pengukuhan kaedah Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh serta Pembelajaran Berasaskan Teknologi.
Menurutnya, KPT turut komited untuk mempertingkatkan tahap celik digital dalam kalangan pensyarah dan pelajar serta memperluas akses kepada pendidikan berkualiti melalui teknologi, dengan fokus kepada tiga komponen utama.
“Ia merangkumi pembangunan bakat berprestasi tinggi berasaskan tujuan, kemahiran lanjutan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, serta pembelajaran fleksibel dan seumur hidup,” katanya.
Zambry berkata KPT berharap kerjasama erat bersama COL dapat diperkasakan dalam pelbagai sektor pendidikan dan turut menggalakkan usaha sama antara negara Komanwel.
COL merupakan sebuah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada 1988 oleh Ketua Kerajaan Komanwel bagi mempromosikan pembangunan dan perkongsian pengetahuan, sumber serta teknologi dalam pendidikan terbuka dan jarak jauh.
-- BERNAMA