EKONOMI

MALAYSIA AIRLINES SAMBUNG SEMULA PENERBANGAN TERUS KE BRISBANE BERMULA NOVEMBER 2025

18/04/2025 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Malaysia Airlines Bhd mengumumkan penyambungan semula penerbangan terus ke Brisbane, ibu negeri Queensland, Australia mulai 29 Nov ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata harga tiket bagi laluan Brisbane dengan tambang promosi termasuk semua pergi dan balik bermula RM1,999 untuk kelas ekonomi, dan RM8,999 untuk kelas perniagaan.

Ia berkata laluan itu akan menggunakan kumpulan pesawat A330neo serba baharu, serta laluan Australia dan New Zealand (ANZ) terpilih, menawarkan keselesaan penumpang yang dipertingkatkan, kecekapan bahan api dan ciri kabin yang canggih.

"Langkah strategik ini mengesahkan komitmen kami kepada pasaran Australia dan melengkapkan kekerapan permintaan bagi laluan Sydney dan Melbourne, di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pengembara percutian dan perniagaan," katanya.

Malaysia Airlines berkata Australia kekal sebagai salah daripada pasaran antarabangsa utamanya, dengan permintaan yang semakin meningkat daripada segmen masuk dan keluar.

Sementara itu, syarikat penerbangan itu juga mengembangkan kekerapan penerbangan merentasi rangkaian Asia Pasifiknya dengan perkhidmatan tambahan ke bandar-bandar popular seperti Sydney, Melbourne, Auckland, Surabaya, Phuket dan Trivandrum.

“Langkah strategik ini bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan untuk pelancong perniagaan dan percutian tetapi juga mengukuhkan komitmen Malaysia Airlines untuk memenuhi permintaan perjalanan serantau yang semakin meningkat dan mengukuhkan kehadirannya merentasi pasaran utama,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Airlines turut memperkenalkan livery pesawat berjenama bersama terbaharunya dengan kerjasama Manchester United.

Livery yang kini dipaparkan pada pesawat utama A330-300 syarikat penerbangan itu, menggabungkan  kebanggaan negara Malaysia dengan Manchester United, sebuah kelab sukan global yang berprestij.

“Majlis pelancarannya kelak bakal dimeriahkan lagi dengan kehadiran bintang legenda Manchester United seperti Dimitar Berbatov, Nemanja Vidić, dan Luís Nani.

"Para peminat boleh menemui mereka pada sesi meet-and-greet dari 18 hingga 20 April di Arena Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), yang turut menawarkan peluang menarik untuk berinteraksi dengan lagenda bola sepak yang hebat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan