BANGI, 18 April (Bernama) -- Projek MyGenom berupaya menjadi ‘genom rujukan’ negara yang berupaya mengkaji punca penyakit dan membangunkan langkah intervensi awal serta jenis rawatan bersesuaian, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata fasa pertama projek berkenaan yang dilancarkan pada 29 Ogos lepas, hingga kini telah mendapat 2,000 penyertaan.
“Segalanya tersimpan dalam projek ini dan kita akan ada keupayaan untuk merujuk kepada kajian genom. Dari situ, kita akan dapat buat dialisis untuk kaji setiap punca penyakit dan akhirnya kita bangunkan ‘treatment approaches’ berdasarkan data yang kita ada secara jitu dan tepat.
“Kajian ini mengizinkan kita untuk mengenal pasti punca penyakit, mencadangkan pendekatan pencegahan dan intervensi awal,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan Projek MyGenom dan sesi pemberian sampel darah di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang. Sesi tinjauan itu turut menyaksikan Dzulkefly dan Chang secara sukarela menyertai pengambilan sampel darah bagi tujuan penjujukan genom sebagai tanda sokongan membina aset data genom negara melalui projek itu.
Sementara itu, Chang berkata kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi menjayakan fasa pertama projek MyGenom dan menjangkakan fasa kedua pada hujung tahun ini memerlukan peruntukan RM91 juta.
Beliau berkata projek yang dijayakan oleh tenaga pakar dan modal insan tempatan dilengkapi dengan pelbagai fasiliti terbaik termasuk mesin penjujukan genom berskala populasi pertama di Malaysia iaitu ‘Illumina Novaseq X Plus’.
Tambah beliau mesin itu membolehkan penjujukan genom berskala besar secara dalaman, mempercepatkan tempoh analisis genom, memperkukuhkan pemilikan data negara dan membina kepakaran tempatan.
Chang berkata sebanyak 500 genom pertama berjaya dijujuk menerusi fasa pertama yang melibatkan 2,000 peserta.
“Sasaran penuh bagi fasa pertama adalah penjujukan 2,400 genom yang dijangka dicapai menjelang hujung tahun ini sebelum beralih ke fasa kedua dengan sasaran kumulatif sebanyak 10,000 genom,” katanya.
Projek MyGenom diterajui penyelidik agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), Institut Bioteknologi Kebangsaan (NIBM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Kesihatan Negara (NIH).
Pasukan projek MyGenom KKM menggunakan tiga strategi pengambilan sampel, iaitu pengambilan secara berterusan di tujuh pusat pendermaan darah di hospital terpilih di seluruh negara, pengambilan sampel secara periodik di tiga pusat pendermaan darah di hospital terpilih dan pengambilan sampel untuk komuniti sasaran.
-- BERNAMA