EKONOMI

PERDAGANGAN MALAYSIA PADA MAC MENINGKAT 2.2 PERATUS KEPADA RM249.89 BILION - MITI

18/04/2025 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Perdagangan Malaysia meneruskan momentum positif dengan meningkat 2.2 peratus kepada RM249.89 bilion pada Mac 2025, menandakan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-15 bulan berturut-turut sejak Januari 2024, menurut Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI).

MITI menjelaskan angka itu juga adalah nilai tertinggi yang pernah dicatatkan bagi Mac.

“Prestasi ini didorong oleh kenaikan eksport sebanyak 6.8 peratus % kepada RM137.31 bilion, yang juga merupakan rekod tertinggi bagi bulan Mac, manakala import menyusut 2.8 peratus kepada RM112.59 bilion.

“Lebihan dagangan mengembang sebanyak 94.4 peratus berbanding Mac tahun lepas kepada RM24.72 bilion, merupakan nilai tertinggi sejak Jun 2023. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-59 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020,” tambah MITI dalam kenyataan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia yang dikeluarkan hari ini.

MITI memaklumkan bagi suku pertama 2025, perdagangan Malaysia meningkat 3.6 peratus tahun ke tahun kepada RM715.73 bilion.

Eksport mengembang 4.4 peratus kepada RM378.36 bilion, manakala import bertambah 2.8 peratus kepada RM337.37 bilion, jelas kementerian itu.

Sementara itu, lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 20.1 peratus kepada RM41 bilion pada suku pertama 2025.

“Walaupun wujud ketidaktentuan dalam persekitaran perdagangan global akibat tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, Bank Negara Malaysia mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi 2025 (2024: 5.1 peratus).

“Buat masa ini, eksport 025 dijangka berkembang sebanyak 5.2 peratus (2024: meningkat 5.7 peratus,” tambah MITI.

Kementerian itu menjelaskan peningkatan eksport disokong terutama oleh kenaikan permintaan terhadap[ barangan perkilangan khasnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini, dengan jumlah peningkatan melebihi RM12 bilion tahun ke tahun.

Keluaran pertanian terutama minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit turut menyumbang kepada peningkatan eksport, tambahnya.

“Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama seperti ASEAN, AS, Kesatuan Eropah dan Taiwan merekodkan pertumbuhan, dengan eksport ke AS melonjak kepada nilai tertinggi yang baharu.

“Eksport yang lebih tinggi turut dicatatkan ke negara rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) seperti Hong Kong, Turkiye, Kanada dan Chile,” menurut MITI.

MITI menjelaskan bagaimanapun, langkah berhati-hati perlu diambil memandangkan ketidaktentuan permintaan global yang boleh menjejaskan pertumbuhan pelaburan dan permintaan domestik.

“Sebagai sebuah negara kecil yang mengamalkan perdagangan terbuka, Malaysia sememangnya terdedah kepada ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat dalam landskap perdagangan global.

“Sehubungan itu, MITI bersama agensinya yang memfokuskan kepada eksport, MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) akan terus memantau perkembangan global dengan lebih dekat bagi melindungi kepentingan ekonomi negara serta memastikan pertumbuhan perdagangan yang berterusan,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan