PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Penggunaan beg plastik jinjit sekali guna di hutan simpan, taman negara dan taman negeri, taman laut, tapak warisan geologi serta geotapak di seluruh negara adalah dilarang sebagai langkah proaktif mengurangkan pencemaran plastik di negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keputusan itu dipersetujui pada Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) di sini, semalam.
“Larangan penggunaan beg plastik jinjit ini turut dilaksanakan di premis tetap termasuk di pasar raya, kedai serbaneka termasuk di stesen minyak, restoran makanan segera, kedai rangkaian, farmasi dan lain-lain premis berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Nazmi berkata kaedah pelaksanaan larangan itu akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut negeri.
Selain itu beliau berkata usaha sama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan diperkukuh untuk membanteras aktiviti pemprosesan e-waste haram dalam negara yang semakin bertambah ekoran kemasukan bahan itu secara tidak sah dari negara luar.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap premis menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram di negeri masing-masing.
“Langkah berkenaan bertujuan memastikan ketegasan dalam penguatkuasaan dan memberi mesej jelas bahawa aktiviti haram tidak akan dikompromi,” katanya.
Nik Nazmi berkata mesyuarat MEXCOE mencerminkan komitmen semua pihak dalam memastikan alam sekitar terus dipelihara dan dipulihara dengan beliau optimis keputusan mesyuarat itu akan memberi impak positif kepada ekosistem negara serta meletakkan Malaysia sebagai contoh negara yang serius menangani cabaran alam sekitar global.
“Langkah seperti mengurangkan penggunaan plastik, mengelakkan pembaziran dan menggalakkan pengurusan sisa secara lestari bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar tetapi juga mencerminkan tanggungjawab kita sebagai masyarakat prihatin terhadap kelestarian bumi,” katanya.
-- BERNAMA