IPOH, 18 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas pemacu pena serta kad memori tiruan bernilai kira-kira RM255,014 dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pengkalan di sini pada Rabu.
Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata dalam serbuan itu lelaki berumur 25 tahun yang juga pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat pemilik cap dagangan dan pemeriksaan dilakukan selepas premis terbabit disyaki membekalkan peralatan terbabit menggunakan cap dagangan secara salah bagi tujuan perdagangan.
"Pengesahan awal oleh wakil pemilik cap dagang mendapati semua pemacu pena dan kad memori yang ditemukan di premis terbabit adalah barang tiruan.
"Kita juga telah menemukan 1,401 unit pemacu pena dan 7,519 kad memori model tiruan dan kes disiasat di bawah Seksyen 102(1) (b) Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
-- BERNAMA