AM

RSV: CABARAN KESIHATAN POPULASI WARGA EMAS DI MALAYSIA

18/04/2025 10:40 AM

KUALA LUMPUR, April 18 (Bernama) -- Peningkatan populasi warga emas di Malaysia telah membawa kepada perubahan demografi yang mencetuskan pelbagai cabaran baharu dalam sistem kesihatan awam.

Beberapa bulan kebelakangan ini, tumpuan terhadap penularan wabak influenza dan kesannya terhadap tokoh-tokoh terkenal telah mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai jangkitan pernafasan.

Antara jangkitan ialah virus sinsitial respiratori (RSV) iaitu virus yang menyebabkan jangkitan paru-paru dan saluran pernafasan, muncul sebagai ancaman namun sering dipandang remeh khususnya dalam kalangan warga emas.

GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) dalam kenyataan hari ini menyatakan bahawa RSV adalah virus biasa dan sangat mudah berjangkit, yang boleh membawa kepada komplikasi kesihatan serius termasuk penyakit saluran pernafasan (LRTD), radang paru-paru dan kematian.

“Ia adalah virus berjangkit biasa, yang menyerang paru-paru dan saluran pernafasan. Sama seperti influenza, RSV merebak melalui titisan memasuki tubuh melalui mata, hidung atau mulut. Virus ini boleh kekal di permukaan keras selama beberapa jam,” menurut kenyataan itu.

Walaupun jangkitan RSV boleh melibatkan gejala ringan seperti hidung berair, batuk dan demam yang lazimnya pulih dalam tempoh satu hingga dua minggu, jangkitan virus ini boleh menjadi serius dan mengancam nyawa untuk kumpulan tertentu kerana mereka berisiko mengalami komplikasi seperti radang paru-paru, kesukaran bernafas dan paras oksigen rendah.

Menurut kenyataan itu, RSV kini semakin dikenali sebagai punca utama penyakit pernafasan akut, bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga membabitkan warga emas, terutamanya bagi mereka yang berusia 65 tahun ke atas dan mempunyai masalah kesihatan lain.

“Golongan dewasa yang menghidap kegagalan jantung kongestif berisiko lapan kali ganda dimasukkan ke hospital akibat jangkitan RSV. RSV juga boleh memburukkan gejala penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD). Pesakit asma berisiko sepuluh kali ganda lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital berbanding mereka yang tidak menghidapnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut GSK, RSV berpotensi memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan individu termasuk aktiviti sosial, produktiviti, hubungan, fungsi fizikal dan kognitif serta gangguan tidur.

“Beberapa kajian menunjukkan 14 hingga 22 peratus daripada dewasa dimasukkan ke hospital akibat jangkitan RSV menghadapi komplikasi kardiovaskular lanjut termasuk pemburukan kegagalan jantung kongestif, penurunan mendadak aliran darah ke jantung atau lebih dikenali sebagai sindrom koronari akut, dan gangguan irama jantung dikenali sebagai aritmia,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, dalam kes-kes serius, kesan daripada kemasukan ke hospital akibat RSV boleh berpanjangan.

Menurut GSK, kajian global mendapati satu daripada empat orang dewasa yang dibenarkan keluar dari hospital selepas jangkitan RSV memerlukan penjagaan formal di rumah.

“Dan 27 peratus daripada orang dewasa dimasukkan ke hospital akibat RSV perlu dimasukkan semula dalam tempoh tiga bulan selepas keluar dari hospital,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kira-kira satu daripada 13 orang dewasa berusia 60 tahun ke atas terus hilang kebebasan diri dalam tempoh enam bulan selepas dimasukkan ke hospital.

Walaupun jangkitan RSV memberi impak besar, GSK memaklumkan kesedaran dalam kalangan warga emas masih rendah susulan persamaan gejala dengan virus lain seperti influenza atau COVID-19.

Justeru, GSK mengesyorkan orang ramai untuk berunding dengan profesional kesihatan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pencegahan.

-- BERNAMA

 

Penafian:

Ini adalah program pendidikan yang dibawakan kepada anda oleh GSK. Gejala RSV bagi setiap pesakit mungkin berbeza. Artikel ini mengandungi kenyataan dan penerangan unik untuk individu tertentu dan mungkin tidak mewakili pengalaman setiap pesakit dengan RSV.

Maklumat ini bersifat umum dan tidak menggantikan nasihat daripada profesional kesihatan. Sepert mana-mana keadaan perubatan, sentiasa berunding dengan penyedia perkhidmatan kesihatan yang berkelayakan.

BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disampaikan dalam artikel ini.

NP-MY-RSA-ADVR-250001 04/25


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan