AM

ANWAR RAKAM PENGHARGAAN KEPADA KEPIMPINAN THAILAND YANG MAJUKAN PROJEK DI SEMPADAN

17/04/2025 06:18 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 17 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Thailand atas komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan memajukan projek di sempadan.

Anwar yang memulakan lawatan kerja dua hari ke Thailand hari ini turut menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra terhadap layanan mesra dan mesyuarat dua hala yang telah diatur.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Thailand atas dedikasinya untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan projek di sempadan. Projek-projek ini telah lama wujud, dan di bawah kepimpinan anda, ia dapat direalisasikan," katanya sebagai membalas ucapan alu-aluan Paetongtarn sebaik tiba di Government House di sini.

Anwar tiba di Government House di sini pada 1.50 petang (waktu tempatan) dengan disambut oleh Paetongtarn.

Anwar kemudian mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala, dengan anggota delegasinya termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin; dan Duta Khas ASEAN ke Myanmar Tan Sri Othman Hashim.

Sementara itu di pihak Thailand pula, Paetongtarn disertai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan Suriya Juangroongruangkit, serta Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa dalam mesyuarat itu.

Usai mesyuarat dua hala itu, kedua-dua Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perjanjian Pembinaan (CA) bagi Projek Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok oleh Nanta dan Suriya.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Paetongtarn turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Anwar atas lawatan itu, yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala antara Thailand dan Malaysia.

"Kami akan terus bekerjasama dan membantu antara satu sama lain dalam pelbagai isu yang memberi kesan kepada dunia hari ini," katanya.

Ini lawatan kedua Anwar ke Thailand sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022, selepas lawatan sulungnya pada 2023, yang menyaksikan beliau menemui Perdana Menteri Thailand ketika itu Jeneral Prayut Chan-o-cha.

Menurut Kementerian Luar Malaysia, pada 2024 Thailand adalah rakan perdagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan nilai dagangan USD25.03 bilion (RM114.56 bilion).

Antara Januari dan Februari 2025, perdagangan dua hala kedua-dua negara mencecah USD3.96 bilion (RM17.65 bilion) berbanding USD3.67 bilion (RM16.80 bilion) bagi tempoh sama pada 2024.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan