LABUAN, 17 April (Bernama) -- Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2025 yang dinanti-nantikan, kembali semula dari 22 hingga 27 April ini dengan menawarkan hadiah berjumlah RM350,000 serta menarik penyertaan lebih 2,500 peserta dari dalam dan luar negara.
Dianjurkan oleh Perbadanan Labuan dengan kerjasama pelbagai organisasi sukan dan agensi kerajaan berkaitan, acara maritim berprestij edisi ke-27 itu dijangka dihadiri lebih 15,000 pengunjung ke pulau bebas cukai itu sepanjang enam hari penganjuran.
Berdasarkan kenyataan Perbadanan Labuan hari ini, LISC 2025 akan menampilkan 12 pertandingan menarik merangkumi empat acara utama dan lapan acara sokongan yang menonjolkan budaya maritim yang kaya di Labuan serta menyemarakkan semangat kesukanan.
Empat acara utama ialah Pertandingan Memancing Laut Dalam, Maraton Kayak Mini, Cabaran Berkayak mengelilingi Pulau dan Perlumbaan Regatta 2.0.
Ia dijangka menarik penyertaan peserta profesional dan amatur dari Malaysia serta Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Hong Kong, Poland, Brazil, Filipina dan Amerika Syarikat.
Pertandingan memancing laut dalam akan berlangsung pada 22 April dan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM80,000 serta peralatan memancing premium bernilai RM100,000.
Perbadanan Labuan memaklumkan acara itu bukan sahaja menjadi platform untuk merancakkan pelancongan dan menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga dapat mengeratkan hubungan persahabatan antarabangsa menerusi sukan laut.
"Dengan kembalinya Cabaran Laut Antarabangsa Labuan tahun ini, kami teruja untuk menyambut kehadiran atlet, pengembara dan pelawat dari seluruh dunia bagi merasai sendiri keunikan sukan laut yang ditawarkan pulau ini," menurut kenyataan itu.
Acara berkenaan juga mengetengahkan lokasi strategik Labuan sebagai hab ekopelancongan dan pelancongan sukan di rantau ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan dalam kalendar sukan laut global.
-- BERNAMA