IPOH, 17 April (Bernama) -- Seramai 2,027 pelajar di Perak tidak hadir dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi pelbagai mata pelajaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata daerah yang mencatat jumlah ketidakhadiran tertinggi ialah Kinta Utara dengan 587 pelajar.
“Daerah lain yang turut mencatat angka ketidakhadiran ialah Larut, Matang dan Selama (309 pelajar), Manjung (250), Hilir Perak (135), Kuala Kangsar (118), Hulu Perak (117), Kinta Selatan (107) dan Kerian (102),” katanya semasa sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohamad Amin Roslan (PN–Pengkalan Hulu) yang ingin mengetahui jumlah pelajar SPM yang tercicir pada tahun lepas.
Menurut Khairudin, masalah keluarga merupakan punca utama ketidakhadiran calon, melibatkan seramai 1,116 pelajar.
“Faktor lain termasuk mempunyai pekerjaan (477 pelajar), masalah kesihatan (132), isu pengangkutan (20), meninggal dunia (11), kemalangan (10), selain berpindah ke luar negara dan ditahan pihak berkuasa (masing-masing dua pelajar),” katanya.
Terdahulu, ketika menjawab soalan Koo Haai Yen (PH–Keranji) mengenai isu keciciran murid, Khairudin memaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak merekodkan seramai 2,047 murid tercicir, dengan 1,912 daripadanya merupakan murid sekolah menengah.
“Faktor utama keciciran murid ialah dibuang sekolah (38.24 peratus), diikuti tidak berminat ke sekolah (35.07 peratus), serta berhenti sekolah untuk bekerja atau menghadapi masalah keluarga,” katanya.
Bagi menangani isu ini, katanya, JPN Perak bersama pejabat pendidikan daerah melaksanakan beberapa program antaranya Jaulah ABC (Anak yang Baik lagi Cerdik), Outreach Murid Cicir, Ziarah Cakna, dan Platform Kehadiran Murid - Red Flag Risiko Cicir (RFRC).
-- BERNAMA