KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Enam pengamal media hari ini menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu meringankan cabaran kehidupan, khususnya dari segi kewangan dan kesihatan.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersempena sambutan Hari Raya Kementerian Komunikasi 2025 di Angkasapuri, di sini.
Penerima sumbangan terdiri daripada bekas wartawan Media Prima Aidil Abdul Ghaffar, 57, dan Mazlin Nordin, 58; bekas wartawan Karangkraf Zailani Ahmad, 60, dan bekas wartawan The Vibes Mohd Shahrim Mohd Tampin, 50.
Turut menerima sumbangan ialah wartawan penyiaran Malaysia Gazette Nurayuni Johari, 33, dan penerbit teknik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Noor Azizi Abdul Kasim, 54.
Hadir sama dalam majlis sambutan itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Keenam-enam penerima Tabung Kasih@HAWANA berkenaan layak menerima sumbangan susulan kesulitan hidup dari segi kewangan dan masalah kesihatan.
Aidil merupakan antara mangsa yang terjejas dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini, Mohd Shahrim kerana tiada pendapatan tetap manakala Mazlin, Zailani, Nurayuni dan Noor Azizi, masing-masing berikutan masalah kesihatan.
Tabung Kasih@HAWANA membuktikan komitmen Kerajaan MADANI yang mendukung nilai ihsan dan kesejahteraan rakyat dalam memastikan pengamal media yang pernah menyumbang kepada masyarakat tidak dilupakan.
Inisiatif berkenaan telah memberi manfaat kepada 366 pengamal media di seluruh negara, sejak diperkenalkan pada April 2023.
Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 sebagai inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan melalui Bernama.
Ia bertujuan menyantuni para wartawan dan pengamal media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun yang telah bersara, uzur atau berdepan kesulitan kewangan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka dalam dunia kewartawanan.
-- BERNAMA
-- BERNAMA