EKONOMI

HIBISCUS PETROLEUM METERAI PERJANJIAN PEMBIAYAAN ISLAM RM439 JUTA DENGAN BANK BRUNEI

17/04/2025 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Hibiscus Petroleum Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Simpor Hibiscus Sdn Bhd, menandatangani perjanjian pembiayaan sindiket Islam jangka masa panjang US$100 juta (RM439 juta) dengan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Baiduri Bank.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menjelaskan perjanjian tersebut menyokong aspirasi pertumbuhan Hibiscus Petroleum di Brunei, mengukuhkan komitmen jangka masa panjangnya terhadap sektor tenaga negara itu di samping mendorong keutamaan mengikut Wawasan Brunei 2035.

Perjanjian pembiayaan itu ditandatangani semalam di Bandar Seri Begawan, Brunei dan disaksikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei, Datuk Seri Setia Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah.

Pengerusi Hibiscus Petroleum Zainul Rahim berkata kerjasama strategik itu mencerminkan nilai bersama pihaknya dan rakan kongsi di Brunei serta visi untuk pembangunan mampan.

“Ini bukan sekadar perjanjian rasmi malah juga merupakan manifestasi kepercayaan kami terhadap masa depan jangka masa panjang di Brunei. Perjanjian itu menandakan detik penting dalam usaha bersama kami untuk memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan nilai tempatan dan menyumbang kepada pembangunan mampan Brunei,” katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BIBD Awang Junaidi Masri berkata pihak bank gembira kerana diberi mandat sebagai pengatur utama dan bank penstruktur bagi perjanjian pembiayaan Islam yang penting itu.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam memajukan pembangunan ekonomi Brunei dan menyokong pelaburan strategik yang sejajar dengan matlamat jangka panjang negara,” katanya.

CEO Baiduri Bank, Eng Hui Ti pula berkata perjanjian itu menekankan komitmen bersama dalam membentuk sektor tenaga Brunei serta menyampaikan nilai jangka masa panjang kepada komuniti tempatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan