EKONOMI

BINA PURI LANTIK MARCUS GOH SEBAGAI GCEO, MOHD KAMARUDIN SEBAGAI PENGARAH BUKAN EKSEKUTIF

16/04/2025 10:47 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Bina Puri Holdings Bhd telah melantik Marcus Goh Kee Lun sebagai pengarah eksekutif merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan (GCEO) manakala Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din sebagai pengarah bukan eksekutif bebas.

Dalam satu kenyataan, syarikat pembinaan itu berkata pelantikan itu dibuat berikutan persaraan Tan Sri Tee Hock Seng sebagai timbalan pengerusi eksekutif, manakala Dr Tony Tan Cheng Kiat telah bersara sebagai pengarah pengasas.

"Goh mempunyai pengalaman hampir dua dekad dalam pasaran modal dan persekitaran korporat. Beliau memulakan kerjayanya hampir 10 tahun dengan empat firma perakaunan besar.

“Beliau memainkan peranan penting dalam projek tawaran awam permulaan (IPO) bagi Syarikat Milik Kerajaan China yang tersenarai dalam Fortune 500 seperti China Communication Construction Company Limited (CCCC) and China Railway Construction Company Limited (CRCC) di Bursa Saham Hong Kong, semasa berkhidmat di PwC Beijing dan EY Shanghai,” katanya.

Sementara itu, Mohd Kamarudin pula pernah menyandang tiga jawatan kepimpinan utama dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Keselamatan Maklumat dari Universiti Teknologi Malaysia.

Mohd Kamarudin sangat berkaliber dengan pengalaman selama 30 tahun dalam bidang penguatkuasaan undang-undang malah beliau juga terkenal dengan komitmennya terhadap integriti, profesionalisme, dan kerahsiaan, kata kenyataan tersebut.

Kumpulan itu berkata pengarah urusan kumpulan merangkap GCEO Kevin Chai Chan Tong menggantikan Tan Sri Tee dalam peranan kepimpinannya serta terus berkhidmat sebagai pengarah urusan kumpulan.

Pengarah Urusan Kumpulan Bina Puri Kevin Chai Chan Tong berkata pelantikan dua ahli lembaga pengarah baharu akan membolehkan kumpulan itu memanfaatkan kepakaran mendalamnya secara strategik dalam pasaran kewangan dan tadbir urus korporat, mengukuhkan keupayaannya untuk menangani cabaran operasi dan meningkatkan kedua-dua akses dan pengawasan pembiayaan modal.

“Perkembangan ini mengukuhkan tumpuan kumpulan terhadap pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan