AM

MENTERI KABINET KENANG SUMBANGAN TUN ABDULLAH KEPADA NEGARA

15/04/2025 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Jasa dan sumbangan Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada negara akan sentiasa dikenang serta kekal subur dalam jiwa rakyat Malaysia.

Ia merupakan antara catatan beberapa menteri Kabinet di laman sosial selepas memberi penghormatan terakhir kepada negarawan itu pada Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara hari ini.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Allahyarham sentiasa mengutamakan nilai integriti, kesederhanaan dan perpaduan dalam setiap dasar yang diperjuangkan.

“Tun Abdullah – atau lebih dikenali sebagai Pak Lah – ialah pemimpin yang sentiasa tenang, berjiwa besar dan amat disegani,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menerusi hantaran berasingan, Gobind memaklumkan Kementerian Digital hari ini mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin di Menara Usahawan, Putrajaya sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Gobind berkata majlis itu memberi ruang kepada warga kementerian untuk mengenang jasa dan sumbangan besar Allahyarham dalam membentuk sebuah negara yang inklusif, progresif dan bersatu padu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata gagasan Islam Hadhari yang diperkenalkan Allahyarham memenuhi citra masyarakat kontemporari, manakala inisiatif seperti J-QAF dalam pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain telah memperkasakan pendidikan Islam di negara ini.

Beliau berkata perjuangan Allahyarham dalam memartabatkan pendidikan dan pembangunan modal insan bermula sejak zaman pelajar lagi menerusi penglibatan dalam Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Pulau Pinang dan Seberang Perai (PPMPPSP) serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

“Sewaktu menjawat jawatan Menteri Pelajaran (1984–1986), Allahyarham Tun Abdullah terlibat secara langsung dalam pengoperasian Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang ketika itu masih di peringkat awal pelaksanaan,” katanya di Facebook.

Fadhlina berkata Allahyarham turut menyumbang kepada pembangunan modal insan menerusi penubuhan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah (1985) serta pemerkasaan profesionalisme keguruan melalui Institut Pengurusan Pendidikan Negara (IPPN) yang kini dikenali sebagai Institut Aminuddin Baki.

Fadhlina berkata ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri, Tun Abdullah telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006–2010 yang bertujuan membina negara bangsa menerusi sistem pendidikan berkualiti tinggi.

“Begitulah antara sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada pendidikan negara dan pembangunan modal insan,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pemergian Bapa Pembangunan Modal Insan itu amat dirasai rakyat dan merupakan satu kehilangan besar buat negara.

“Legasi dan jasa beliau akan terus subur dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam catatan di Facebook.

Allahyarham Tun Abdullah, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam tadi, pada usia 85 tahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan