AM

TUN ABDULLAH PEMIMPIN BERPRINSIP YANG TELUS DAN SEDERHANA - JOHAN JAAFAR

15/04/2025 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Tun Abdullah Ahmad Badawi boleh dianggap sebagai antara Perdana Menteri yang paling sukar difahami dari segi prinsip, visi dan gaya kepimpinannya, justeru menjadikan beliau pemimpin yang kurang menerima pengiktirafan sewajarnya dalam sejarah Malaysia, kata tokoh wartawan negara Tan Sri Johan Jaafar.

Johan berkata Perdana Menteri kelima itu bukan individu yang gemar menonjolkan diri sebaliknya memahami batas dan keupayaan beliau.

“Tun Abdullah sedar beliau bukan seorang yang sempurna tetapi beliau tetap memimpin negara dengan sebaik mungkin terutama ketika berdepan dengan tempoh-tempoh yang mencabar bagi mana-mana pemimpin. 

“Beliau seorang yang sederhana namun memiliki gagasan besar. Tun Abdullah teguh dalam usahanya membawa kemakmuran kepada rakyat. Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, beliau terus cekal melaksanakan dasar yang mesra rakyat. Antara sumbangan besar beliau termasuk merangka semula kawasan pertumbuhan baharu yang jauh daripada tumpuan kota dan menjadi kawasan yang makmur,” katanya dalam kenyataan. 

Johan berkata Allahyarham telah mencurahkan sepenuh tenaga untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih baik untuk rakyatnya dan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan serta kelebihan yang beliau miliki. 

“Allahyarham tidak pernah berselindung dalam berkata-kata, setiap ucapannya lahir dari hati yang ikhlas. Tun Abdullah adalah tokoh pembaharuan sejati, yang antara pencapaian beliau ialah penubuhan Institut Integriti Malaysia, pengukuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pelbagai pembaharuan besar institusi lain,” katanya.

Selain itu, Johan berkata konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan Tun Abdullah bukan sekadar slogan sebaliknya ia lahir daripada pemahaman mendalam terhadap maksud sebenar Islam yang progresif.

“Itu adalah visi Allahyarham untuk Malaysia yang moden, berakar umbi latar belakang agama yang kukuh. Beliau percaya terhadap Malaysia untuk semua tanpa mengira warna kulit atau pegangan agama. Sebuah negara yang menjunjung akhlak mulia, integriti dan nilai moral.

“Bekerja bersama-sama beliau bukan bekerja untuk beliau, itu prinsip yang mencorakkan falsafah kerja, etika dan keyakinan Tun Abdullah terhadap semangat kebersamaan sebagai sebuah negara. Dalam waktu senang dan lebih-lebih lagi waktu susah, beliau kurang dilihat sebagai ahli politik tetapi lebih kepada sosok seorang bapa yang bersandarkan kepada rasional, kewarasan dan kebijaksanaan. Beliau merupakan seorang negarawan sejati,” katanya. 

Tun Abdullah, yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Lah' meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam semalam di usia 85 tahun.

Allahyarham akan dikebumikan mengikut ‘Istiadat Pengebumian Negara’ di Masjid Negara hari ini. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan