AM

TUN ABDULLAH DEDIKASIKAN HIDUPNYA BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT - BEKAS SETIAUSAHA POLITIK

15/04/2025 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sentiasa mendedikasikan kehidupannya untuk berkhidmat kepada rakyat, kata bekas Setiausaha Politiknya Datuk Othman Desa.

Beliau berkata komitmen Perdana Menteri kelima itu didorong oleh rasa cintanya yang kuat kepada rakyat di negara ini.

“Allahyarham ini, beliau seorang yang sederhana. Sebenarnya kalau kita tengok pada wajah Tun Abdullah sendiri sudah dapat menggambarkan kesederhanaan, ketenangan terpancar pada wajahnya. Antara sifatnya juga, beliau cintakan rakyatnya.

“Ciri-ciri peribadinya menyebabkan rakyat terasa kehilangan beliau. Sifat kesederhanaan, tak suka mengata, (bahkan) saya tak pernah nampak beliau marah,” katanya ketika menjadi tetamu Bernama Radio, hari ini.

Othman yang berkhidmat dengan Abdullah sejak Allahyarham memegang jawatan Menteri Luar mengakui sangat mengagumi jiwa besar yang dimiliki bekas majikannya itu.

“Beliau memang berjiwa besar. Waktu beliau undur diri (daripada jawatan Perdana Menteri pada 2009), keputusan itu dibuat berdasarkan kerelaan beliau. Inilah jiwa besar terdapat pada Allahyarham yang orang lain jarang buat, bila ada di puncak letak jawatan dan beri kepada orang lain.

“Jiwa besar Tun Abdullah ini adalah untuk kepentingan negara dan kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang berkata sifat mesra Abdullah amat disenangi oleh pengamal media.

“Semasa Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri kelima, saya kerap juga membuat liputan khususnya lawatan rasmi ke luar negara. Masih segar dalam ingatan saya adalah kemesraan Allahyarham kepada wartawan-wartawan yang membuat liputan lawatannya ke luar negara.

“Tun Abdullah berbual secara santai atau tidak formal yang membuatkan wartawan lebih selesa,” katanya.

Menurut Azman, Abdullah yang dikenali dengan panggilan Pak Lah juga sentiasa memulakan sidang akhbarnya dengan bertanyakan khabar para pengamal media dalam loghat utara.

“Bila wartawan kata belum makan, Allahyarham akan minta pegawainya ajak kami makan. Inilah sikap beliau. Apa yang jelas ialah perwatakan atau karakternya, walaupun berjawatan Perdana Menteri tetap merendah diri,” katanya.

Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara hari ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan