KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengucapkan takziah kepada keluarga Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) malam ini.
Beliau menerusi satu hantaran di laman X berkata jasa dan sumbangan bekas pemimpin negara itu akan sentiasa dikenang.
"Pemergian beliau adalah kehilangan besar buat negara. Semoga Allahyarham ditempatkan di tempat yang mulia di sisi-Nya," kata beliau.
Turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham ialah Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya menerusi akaun X hari ini.
Tun Abdullah, 85, meninggal dunia di IJN pada 7.10 malam ini.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah menjadi Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA